Penduduk dakwa pelaksanaan Wilayah Bebas Berniaga undang masalah

Antara lokasi gerai yang didakwa menimbulkan kegusaran penduduk setempat.
Antara lokasi gerai yang didakwa menimbulkan kegusaran penduduk setempat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa wakil penduduk mendakwa inisiatif program Wilayah Bebas Berniaga hanya mengundang masalah buat masyarakat setempat.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan adalah melibatkan operasi gerai berhadapan kawasan perumahan yang akan menimbulkan bunyi bising, kesesakan jalan raya dan gangguan di laluan keluar masuk penduduk.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Changkat Desa/Melewar 2, Datuk Gazali Harun berkata, pihaknya bimbang operasi gerai di hadapan kawasan taman akan mengakibatkan kualiti kehidupan penduduk setempat terjejas berikutan gangguan khususnya melibatkan kelancaran kenderaan penduduk untuk keluar melalui Pesiaran Geliga 1.

"Persatuan turut menerima banyak bantahan daripada penduduk berikutan pembukaan gerai di hadapan kawasan taman di sini.

“Kami memahami keadaan ekonomi semasa dan hasrat untuk memberi peluang kepada rakyat yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

“Namun begitu biarlah aktiviti ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada agar tidak menjejaskan kehidupan masyarakat setempat ekoran kesesakan lalu lintas, menitik beratkan aspek kebersihan dan lokasi yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub-Zon 4, Datuk Abdul Razak Muhamad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memastikan pembukaan setiap gerai-gerai berkenaan adalah mematuhi SOP ditetapkan.

"Saya lihat di sesetengah kawasan seperti di Jalan 2/10 Taman Koperasi Polis Fasa 1, gerai perniagaan tumbuh bagaikan cendawan sehingga mewujudkan beberapa masalah sampingan lain seperti kesesakan jalan raya dan bunyi bising," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berharap agar dasar baharu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu tidak disalah gunakan serta menyumbang kepada masalah kebersihan dan kesesakan di kawasan bandar.

“Walaupun saya mengalu-alukan semangat menteri menyediakan ruang perniagaan kepada mereka yang memerlukan terutama ketika waktu mencabar sekarang, saya amat berharap DBKL akan memberi pertimbangan utama kepada aspek keselamatan penduduk,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut mengumumkan pelaksanaan Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula semalam sehingga 15 April 2021 bagi membantu meringankan bebanan penduduk khususnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).