Jangan biar sindiket ambil kesempatan di kawasan bebas berniaga

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan segelintir individu mahupun sindiket agar tidak mengambil kesempatan dengan menjual tapak berniaga selepas mendapat kebenaran berniaga sementara di kawasan bebas berniaga yang dibenarkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau mengingatkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil serius tentang perkara itu agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas rakyat yang sedang berdepan kesempitan hidup.

"Kebimbangan saya kini adalah sindiket. Mereka akan 'tanda' tempat-tempat yang strategik untuk berniaga dengan meletakkan tong ais, payung dan sebagainya. Jika ada peniaga mahu pergi meniaga di situ, kena bayar kepada mereka.

"Saya mahu PBT lihat perkara ini dan jangan benarkan sindiket-sindiket ini mengambil kesempatan dan bermaharajalela. Tidak boleh 'tanda' macam itu. Yang kita benarkan adalah lepas habis berniaga, barang-barang perniagaan dibawa pulang bersama," katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, kebenaran berniaga di kawasan berniaga di lima PBT yang bermula semalam bakal diperluaskan di seluruh negeri selepas mendapat permintaan yang tinggi.

Menurutnya, yang dipertua dari PBT-PBT lain turut menyuarakan hasrat selepas kebenaran berniaga di kawasan bebas berniaga telah diumumkan di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

"Dalam tempoh seminggu ini kita akan lihat bagaimana perkembangan kawasan bebas berniaga yang diumumkan di lima PBT. Minggu depan kita akan cuba perluaskan ke semua PBT lain di Kedah.

"Saya gembira dengan sambutan yang diberikan oleh PBT-PBT lain yang turut membuka ruang kepada rakyat. Kepada rakyat yang mahu berniaga sudah boleh membuat persiapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, peniaga makanan diingatkan agar mendapatkan suntikan typhoid terlebih dahulu di klinik kesihatan ataupun klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Pada 12 November lalu, Sinar Harian melaporkan Kedah membuat keputusan mewujudkan kawasan bebas berniaga kepada peniaga, penjaja statik atau perniagaan kecil-kecilan di kawasan yang sesuai dalam pentadbiran PBT berkuat kuasa 15 November ini.