Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang hari ini.
Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang hari ini.
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim mengesahkan perkara tersebut selepas dimaklumkan isteri Allahyarham sebentar tadi.

Menurutnya, Allahyarham mengalami serangan jantung pada jam 6.30 petang sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk rawatan.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 7 petang tadi isterinya menghubungi saya memaklumkan beliau sudah meninggal dunia.

"Setakat ini saya tak dapat apa-apa maklumat lanjut mengenai punca kejadian. Cuma minggu lepas kami berjumpa arwah nampak sihat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Aznel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu berkata, jenazah kini berada di Hospital Raub dan menunggu keputusan keluarga bagi lokasi pengebumian.

Hasbullah yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik menjadi ahli Parlimen sejak tahun 2013 sehingga kini.

Sebelum itu, pada tahun 2008 Allahyarham pernah menjadi ADUN Temenggor dan beliau juga Timbalan Pengerusi UMNO Perak.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham memperoleh 13,243 undi menewaskan pencabarnya, Mohd Dahalan Ismail dari Pas dan Ibrahim Mohd Hanafiah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).