Pembelajaran dalam talian jejas kualiti pembelajaran pelajar IPT

Prof Datuk Dr Raduan Che Rose
Prof Datuk Dr Raduan Che Rose
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengatasi segera masalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang sukar meneruskan sesi pembelajaran akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pembelajaran dalam talian yang berterusan dijangka menjejaskan kualiti pembelajaran.

“Realitinya atas kertas, arahan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan semua proses pembelajaran berjalan seperti biasa sememangnya tepat namun banyak isu yang timbul apabila mahu dilaksanakan.

“Tidak semua institusi pengajian tinggi bersedia sepenuhnya dari segi bahan pengajaran dan penyampaian malah persiapan pensyarah kerana situasi ini berlaku secara mengejut dan tidak dirancang.

“Proses pembelajaran dalam talian ini bukan boleh dilaksanakan secara sembarangan kerana ia mesti dibuat mengikut prosedur tertentu merangkumi penyampaian dan penilaian, yang itu kita tidak bersedia,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, pelajar universiti juga secara keseluruhannya masih belum bersedia termasuk aspek mental, kelengkapan fasiliti dan persekitaran tidak kondusif untuk pembelajaran.

“Bayangkan kalau dekat rumah, ada yang adik-beradik ramai dan ditambah dengan tiada ruang belajar yang sesuai, itu semua mengganggu.

“Tinjauan yang kami lakukan juga mendapati lebih 30 peratus pelajar tidak memiliki akses kepada kemudahan yang diperlukan untuk pembelajaran atas talian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Raduan, ketiadaan rancangan yang bersepadu dan komprehensif oleh kesemua institusi pengajian tinggi negara bagi mengatasi masalah pembelajaran atas talian juga berpotensi untuk menjejaskan kualiti pendidikan pelajar.

"Ini berlaku kerana kerajaan ketika ini dilihat mengambil keputusan memberikan sepenuh tanggungjawab kepada pihak IPT dalam menguruskan masalah dan isu yang berbangkit dari segi pentadbiran dan pembelajaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata penilaian yang dilakukan terhadap beberapa inisiatif kerajaan sebelum ini yang pernah cuba mempraktikkan sepenuhnya pendekatan itu di universiti terpilih telah menunjukkan berlakunya kemerosotan kualiti pembelajaran.

“Kualiti pembelajaran dalam talian dilihat berada di bawah standard berbanding belajar secara bersemuka dan konvensional.

Tambah beliau lagi, ada juga sesetengah program pengajian tidak boleh dilakukan secara atas talian yang melibatkan penggunaan kemudahan makmal seperti pelajar perubatan dan pergigian yang memerlukan latihan klinikal.

Bagi mengatasi perkara tersebut, Raduan berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memberikan arahan kepada semua IPT dan IPTS supaya memberikan satu semester tambahan kepada pelajar yang terjejas.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu mengambil inisiatif bagi menambah baik sistem penyampaian pensyarah dalam usaha mengukuhkan proses pembelajaran atas talian.

Raduan turut mencadangkan kerajaan menambah kemudahan kepada pelajar dan bantuan untuk membeli komputer riba sertai kemudahan lain yang disebut dalam Belanjawan 2021 tidak mencukupi.

“Kita ada lebih kurang 1.2 juta pelajar universiti dan politeknik. Jadi, kerajaan perlu lebih serius dan mencari jalan untuk menyediakan kemudahan ini.

“Sepatutnya kerajaan perlu meningkatkan lagi capaian internet kerana pemberian inisiatif MyREN (Malaysian Research & Education Network) sahaja tidak cukup kerana ia hanya terhad kepada beberapa universiti sahaja,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat 6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memperuntukkan sebanyak RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Antara insiatif yang diumumkan pada belanjawan tersebut ialah pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS sebanyak RM100 juta, iaitu skim pinjaman komputer riba dengan kadar keuntungan hanya serendah dua peratus setahun dan menaik taraf talian akses MyREN kepada 500Mbps hingga 10Gbps dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan sebanyak RM50 juta bagi projek membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam dan RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.