Tak jaga jarak, ulama Indonesia didenda RM14,556

Rizieq dikerumuni para penyokong beliau yang menyambut kepulangannya dari Arab Saudi pada Selasa lalu. - Foto Agensi
Rizieq dikerumuni para penyokong beliau yang menyambut kepulangannya dari Arab Saudi pada Selasa lalu. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Agensi Ketenteraman Awam Jakarta (Satpol PP) mengenakan saman berjumlah 50 juta rupiah (RM14,556) ke atas ulama kontroversi, Rizieq Shihab selepas mendapati pemimpin Front Pembela Islam (FPI) itu melanggar protokol kesihatan koronavirus (Covid-19) ketika menganjurkan acara awam pada akhir minggu lalu.

Ketua Satpol PP, Arifin menerusi surat dihantar kepada Rizieq mendakwa beliau gagal mematuhi langkah penjarakan fizikal yang dilaksanakan untuk membendung penularan pandemik itu.

Menurutnya, beliau bersama FPI bertanggungjawab kerana gagal mengehadkan jumlah tetamu yang hadir majlis perkahwinan anak perempuannya yang juga menjadi acara untuk sambutan Maulidur Rasul di Tanah Abang, Jakarta Tengah pada Sabtu lalu.

"Ia jelas melanggar langkah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang dikuatkuasakan di bawah Peraturan Gabenor Jakarta. Kami berharap Rizieq sedia memberi kerjasama pada sebarang acara akan datang untuk memastikan protokol kesihatan sentiasa dipatuhi," katanya.

Sementara itu, Rizieq dalam satu kenyataan menyatakan beliau sering mengingatkan para tetamu supaya menjaga jarak fizikal, namun jumlah mereka yang terlalu ramai menyukarkan langkah tersebut.

Beliau kembali semula ke Indonesia pada Selasa lalu selepas hampir tiga tahun 'mengasingkan diri' di Arab Saudi.

Kepulangannya turut disambut ribuan penyokongnya termasuk anggota FPI yang berarak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten hingga menyebabkan lalu lintas sesak. - Agensi

Artikel Berkaitan: