Pahang bentang belanjawan lebihan kali ke-18

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Belanjawan Pahang 2021 Pahang yang akan dibentangkannya pada Sidang DUN Pahang, di Wisma Sri Pahang, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Belanjawan Pahang 2021 Pahang yang akan dibentangkannya pada Sidang DUN Pahang, di Wisma Sri Pahang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang hari ini membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan 'Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama' dengan lebihan RM5.332 juta, iaitu belanjawan lebihan ke-18 negeri sejak 1992.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, belanjawan itu menyediakan peruntukan RM795.466 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM201.915 juta bagi perbelanjaan pembangunan, manakala kutipan hasil negeri dianggarkan sebanyak RM800.798 juta. Kutipan hasil 2021 dijangka meningkat sebanyak 7.6 peratus daripada tahun ini, diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM452.285 juta, RM165.495 juta (perhutanan), RM15.250 juta (air), RM94.2 juta (Geran Kerajaan Persekutuan) dan RM73.568 juta (lain-lain hasil).

"Tumpuan utama Belanjawan 2021 ialah menyeimbangkan keadaan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan mereka dapat mengekalkan pendapatan dan meneruskan kehidupan dalam situasi pandemik wabak Covid-19," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Wan Rosdy turut mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang 2021 (BPP) yang memberi bantuan tunai secara 'one-off' sebanyak RM250 seorang kepada 2,054 warga emas berusia 80 tahun ke atas, 33,973 orang kurang upaya (OKU), 888 bilal dan 889 siak, 1,594 peserta e-Kasih miskin tegar dan 301 Tok Batin.

Menurutnya, bantuan sama juga diberikan kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (543 orang), Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (62 orang) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (70 orang).

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan sumbangan 'one-off' sebanyak RM750 seorang kepada 1,032 imam sebagai menghargai sumbangan mereka selain kadar bantuan am kerajaan negeri dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM300 ketika ini, yang melibatkan 3,014 penerima.

"Seramai 24,000 kanak-kanak yang bakal memasuki tahun satu tahun depan juga akan menerima sumbangan one-off RM100, selain elaun bulanan 350 orang guru al-Quran dan Fardu Ain Asrama berjumlah RM800 dinaikkan kepada RM1,000," katanya.

Menerusi BPP, maahad tahfiz berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) akan menerima peruntukan RM1 juta yang akan diagihkan kepada 89 pusat pengajian, pemberian RM200 kepada pasangan yang berkahwin kali pertama dan peruntukan RM10,000 kepada setiap 52 pusat pemulihan dalam komuniti untuk latihan dan pemulihan OKU.

Artikel Berkaitan:

Pada pembentangan itu, Wan Rosdy juga mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan RM1,000 kepada semua 8,000 penjawat awam Pahang tanpa pengecualian gred yang dibayar sebelum 16 Jan 2021 sebagai penghargaan kepada usaha mereka membantu pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju memotong gaji 10 peratus untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana Negeri selama tiga bulan mulai bulan ini dan berharap langkah sama diambil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang termasuk pembangkang.

Pada tahun hadapan, Pahang Corporation Sdn Bhd yang mula beroperasi pada tahun ini bagi urusan berkaitan pelaburan dijangka menyumbang sebanyak RM4.4 juta manakala Pahang Water and Energy Resources Sdn Bhd dijangka menyumbang RM2 juta selain RM50 juta dijangka diperoleh daripada Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC).

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri merancang mewujudkan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus merangkumi Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Raub, Bentong dan Bera bagi tujuan pembangunan daerah terlibat yang jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan wilayah timur, khususnya Kuantan.

"Kerajaan negeri berbangga kerana berupaya mengekalkan khazanah hutan seluas 2.05 juta hektar setakat Jun lepas, iaitu 57 peratus daripada 3.59 juta keluasan tanah negeri.

"Kerajaan negeri juga akan mewartakan beberapa kawasan sebagai taman negeri termasuk di Lubuk Yu, Maran," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2.1 juta untuk pengurusan dan pembangunan orang asli selain merancang menubuhkan Perbadanan Orang Asli Negeri Pahang yang bertanggungjawab menyediakan pelan induk pengurusan dan pembangunan ekonomi yang lebih terancang untuk masyarakat itu. - Bernama