Nik Nazmi cadang tujuh penyelesaian atasi masalah penutupan sekolah

Kenyataan dimuat naik Nik Nazmi di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Kenyataan dimuat naik Nik Nazmi di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan tujuh langkah penyelesaian kepada Kementerian Pendidikan bagi membantu pelajar dan guru mengatasi masalah yang timbul susulan keputusan kerajaan menutup semua sekolah di Malaysia sehingga 17 dan 18 Disember 2020 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

Beliau berkata, penutupan sekolah itu menyebabkan pendidikan pelajar di Malaysia terganggu kerana kurangnya perancangan jangka masa panjang daripada Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, berlaku penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hingga 22 Februari 2021 dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hingga 8 Mac 2021.

Justeru katanya, beliau tidak mahu melakukan kritikan semata-mata dan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa penyelesaian yang dicadangkan iaitu kementerian harus mewujudkan satu pasukan dengan pemegang taruh dan pakar dari dalam dan luar kerajaan untuk membuat versi SPM dan STPM yang diperkemaskan.

Beliau berkata, seterusnya kerajaan harus membatalkan semua syarat kerja kursus untuk kumpulan SPM 2020/2021 dan 2021 kecuali untuk mata pelajaran praktikal sangat penting seperti mata pelajaran vokasional.

"Kerajaan juga perlu mengenalpasti bahagian kurikulum mana yang harus diajar secara bersemuka dan yang boleh dilakukan secara dalam talian dan penciptaan kandungan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam talian juga harus mempunyai perancangan.

"Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian boleh membantu dalam perkara itu dan subjek yang boleh dinilai atau mampu diadakan peperiksaan dalam talian, perlu diputuskan," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Artikel Berkaitan:

Nik Nazmi yang juga Jurucakap Parlimen Parti keadilan Rakyat (PKR) bagi Pendidikan berkata, langkah seterusnya adalah dengan membekukan pertukaran semua pegawai peperiksaan di kementerian terutama Lembaga Peperiksaan, Majlis Peperiksaan dan di peringkat pendidikan negeri sehingga kedua-dua SPM dan STPM 2020/2021 dan 2021 telah selesai.

Menurutnya, jemaah nazir harus bekerjasama dengan sekolah untuk membantu mengatur kelas atau bahkan pergi ke lapangan dan mengajar dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

"Kita juga boleh merekrut guru sementara dan interim, sebagaimana saya bangkitkan dalam pertemuan rombongan PH (Pakatan Harapan) bertemu Menteri Kewangan untuk membantu pelajar sepenuh masa dengan pembelajaran secara fizikal atau dalam talian.

"Perkongsian juga boleh dilakukan dengan syarikat dan teknologi swasta untuk penyelesaian teknologi, sementara inovasi dalam pembelajaran dapat dipercepatkan untuk membantu guru dan pelajar.

"Selain itu, sistem UPU perlu dikemaskini untuk memendekkan masa yang diperlukan untuk memproses aplikasi dan memastikan bahawa ia dapat menangani puluhan ribu pengunjung dalam satu-satu masa," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga harus menyedari bahawa kumpulan pelajar sekarang adalah anggota termuda dari 'generasi Covid', mereka mungkin memerlukan pemantauan dan bantuan untuk masa yang lama.

Sebagai permulaan katanya, kerajaan harus meningkatkan kapasiti matrikulasi dan Tingkatan Enam dalam masa terdekat bagi membantu mempersiapkan pelajar 'generasi Covid' dengan lebih baik kerana mereka telah kehilangan satu tahun persekolahan untuk pendidikan tinggi.

"Untuk kursus diploma, kolej dan universiti mesti mempertimbangkan untuk memperkenalkan kursus pengajian pra-pengajian tinggi (dengan kos minimum) untuk membantu kedua-dua kumpulan SPM dan STPM mengikuti pengetahuan yang diperlukan dalam bidang yang berkaitan.

"Saya sangat berharap Kementerian Pendidikan mempertimbangkan langkah-langkah ini kerana ini melangkaui politik," katanya.