Pas sokong cadangan gabungan politik besar

Mohd Amar (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran Buku Biografi Ringkas Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Hotel H Elite hari ini.
Mohd Amar (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran Buku Biografi Ringkas Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Hotel H Elite hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemimpin Pas menyifatkan cadangan untuk memberi ruang kepada parti lain menyertai muafakat secara besar-besaran melibatkan parti yang menolak Pakatan Harapan (PH) adalah sangat relevan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau menyokong cadangan yang dikemukakan Setiausaha Agung Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan melihat ia sebagai satu cadangan yang baik.

"Kita pun dalam Perikatan Nasional (PN) ini boleh menggabungkan parti-parti politik bukan setakat yang ada sahaja, tetapi mana-mana parti yang boleh menerima asas dan matlamat perjuangan dalam PN.

"Bagi saya ia merupakan satu cadangan yang baik. Satunya untuk kukuhkan PN dan yang keduanya untuk kukuhkan negara kita demi kepentingan rakyat. Itu yang lebih utama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Amar hadir Wacana Memartabat Legasi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Tiga Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Hotel H Elite di sini hari ini.

Beliau turut merasmikan buku Biografi Ringkas Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdahulu, Annuar Musa melalui satu entri di laman sosial Facebooknya menyatakan pendapat bahawa penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja.

Beliau juga mencadangkan pembentukan suatu 'grand coalition' yang melibatkan sekurang kurangnya 12 atau 13 parti politik yang sealiran.

Artikel Berkaitan:

"Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar iaitu gabungan Muafakat Nasional dan beberapa parti yang bebas atau menolak PH boleh dibawa bersama.

"Yang penting kita tinggalkan politik yang berlegar di sekeliling personaliti dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia perlukan suatu 'grand coalition': Annuar