Razlan puji kecekalan Morbidelli di GP Valencia

Morbidelli -Foto: Petronas SIC
Morbidelli -Foto: Petronas SIC
A
A
A

PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali gembira dengan prestasi Franco Morbidelli’s di Grand Prix (GP) Valencia yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol semalam.

Katanya, pelumba dari Itali yang berusia 25 tahun itu mempamerkan kesungguhan sebenar untuk meraih kemenangan ketiganya musim ini sekalipun menerima saingan sengit daripada pelumba Australia, Jack Miller daripada Pramac Racing di akhir perlumbaan.

Razlan juga meluahkan harapan rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quatararo yang terkeluar daripada perlumbaan itu akan bangkit kembali pada perlumbaan penamat musim, GP Portugal di Litar Portimao hujung minggu ini.

“Kejohanan MotoGP tahun ini adalah sukar dan kami berusaha untuk memenangi kesemua perlumbaan hingga perlumbaan akhir namun kami gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan hari ini.

Razlan turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Suzuki dan penunggangnya Joan Mir atas kejayaan merangkul kejuaraan MotoGP musim ini.

Beliau juga gembira melihat pasukan berpangkalan di Malaysia berjaya mengekalkan pasukan satelit terbaik untuk musim kedua berturut-turut Kejohanan MotoGP.

Morbidelli yang bermula dari petak pertama menguasai perlumbaan sejak awal namun menghadapi saingan sengit daripada Miller pada pusingan akhir sebelum berjaya memenangi perlumbaan dengan catatan masa 41 minit 22.478 saat, kemenangan ketiganya selepas GP Marino dan GP Teruel.

Miller di tempat kedua dengan perbezaan 0.093 saat sementara pelumba Sepanyol, Pol Espargaro daripada Red Bull KTM Factory Racing di tempat ketiga dengan catatan 41:25.484 saat dalam perlumbaan 27 pusingan itu.

Artikel Berkaitan:

Pendahulu MotoGP, pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar, muncul juara dunia MotoGP musim ini sekalipun menamatkan perlumbaan semalam di tempat ketujuh (41:31.181 saat). Beliau mengumpulkan 171 mata selepas 13 perlumbaan dengan baki satu lagi perlumbaan.

Keputusan perlumbaan semalam mengangkat Morbidelli ke tempat kedua dengan 142 mata sementara rakan sepasukan Mir, Alex Rins di tempat ketiga (138 mata). Quartararo pula jatuh ke posisi kelima dengan 125 mata. -Bernama