Lelaki maki, cekik polis dijel empat bulan

Ahmad Rosli dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mencekik dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis hari ini.
Ahmad Rosli dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mencekik dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penganggur dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencekik dan memaki seorang anggota polis pada Rabu lalu.

Ahmad Rosli Ahmad Kamsah, 49, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 11 November lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu anggota polis, Koperal Mohamed Nor Fitri Zainurin dengan mencekik leher mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat mengganggu kesantunan anggota yang sama dengan mengeluarkan kata-kata kesat secara berulang kali.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kedua-dua kejadian didakwa dilakukan di sebuah rumah di Impian Baiduri, Jalan 224 di sini pada jam 5.05 petang, 11 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Tindakan tertuduh seperti gengsterisme dan tidak bermoral selain perbuatannya telah mendatangkan kesulitan terhadap anggota polis yang menjalankan tugas,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tidak bekerja dan perlu menjaga isteri serta anak.

Mengikut fakta kes, ketika menjalankan tugas, anggota polis berkenaan menerima maklumat terdapat seorang lelaki mengamuk dan memukul isteri serta anak.

Setibanya di lokasi kejadian, anggota berkenaan cuba menenangkan tertuduh, namun dia mengeluarkan kata-kata kesat dan mencekik mangsa sehingga mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, tertuduh yang sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isteri, Rorbi Ah Dorloh, 48, dan anak perempuannya yang berusia 11 tahun.

Kejadian didakwa dilakukan pada jam 4 petang pada tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris dan mahkamah menetapkan 19 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.