Kerajaan lulus pelarasan gred pegawai perubatan kontrak

Kerajaan meluluskan pelarasan gred pegawai perubatan kontrak daripada gred UD41 kepada gred UD43. Gambar hiasan
Kerajaan meluluskan pelarasan gred pegawai perubatan kontrak daripada gred UD41 kepada gred UD43. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan meluluskan pelarasan gred pegawai perubatan kontrak daripada gred UD41 kepada gred UD43.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kelulusan yang diputuskan pada Jumaat lalu sebagai menghargai perkhidmatan yang diberikan.

Menurutnya, ia juga membolehkan pegawai menerima emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

"Pelarasan gred itu turut dipanjangkan kepada pegawai pergigian kontrak.

"Ini kerana pegawai perubatan dan pegawai pergigian lantikan kontrak turut memikul beban tugas yang setara dengan pegawai lantikan tetap yang dinaikkan pangkat ke gred 44 selepas memenuhi syarat kenaikan pangkat dan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelulusan tersebut bersesuaian dengan pendekatan Malaysia Prihatin yang diamalkan oleh kerajaan pada masa ini dan selaras dengan prinsip upah mengikut kerja (rate for the job).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kelulusan ini.

"KKM menaruh keyakinan bahawa keputusan ini berupaya memberi impak positif ke arah memperkukuhkan keharmonian organisasi dan meningkatkan lagi motivasi pegawai dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: