Hanya 1.12 peratus perniagaan daftar SSM BizTrust

Rosol menunjukkan logo SSM Biz Trust bagi peniaga dalam talian yang berdaftar.
Rosol menunjukkan logo SSM Biz Trust bagi peniaga dalam talian yang berdaftar.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Hanya 4,181 peniaga dalam talian atau e-dagang yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM BizTrust melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak ia mula diperkenalkan pada 2017 sehingga 30 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, kesedaran peniaga dalam talian atau e-dagang mendaftarkan perniagaan di bawah SSM BizTrust melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih rendah, iaitu hanya 1.12 peratus daripada 373,213 perniagaan dalam talian yang direkodkan SSM.

"SSM BizTrust ini adalah platform yang dibangunkan untuk melindungi pengguna dan mengekang aktiviti penipuan oleh peniaga yang menawarkan produk atau perkhidmatan secara dalam talian.

"Tapi apa yang kita lihat, kesedaran peniaga masih sangat kecil kerana jumlah yang berdaftar sangat rendah sedangkan kewujudan SSM BizTrust ini adalah untuk meyakinkan pengguna mengenai perniagaan yang diusahakan.

"SSM Biz Trust adalah piawaian yang boleh diperoleh oleh entiti perniagaan dalam talian melalui SSM yang memperakui bahawa perniagaan itu mematuhi ciri-ciri prinsip dan kriteria yang ditetapkan termasuk pendaftaran perniagaan, keselamatan urus niaga dalam talian serta perlindungan maklumat pengguna,” katanya selepas melakukan lawatan ke pusat penternakan ayam Kemat Ternak Maju di Ajil, Hulu Terengganu di sini semalam.

Rosol (kiri) ketika membuat lawatan ke pusat penternakan ayam Kemat Ternak Maju di Ajil, Hulu Terengganu semalam.
Rosol (kiri) ketika membuat lawatan ke pusat penternakan ayam Kemat Ternak Maju di Ajil, Hulu Terengganu semalam.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, peniaga dalam talian yang berdaftar serta memaparkan logo SSM BizTrust di laman sesawang atau platform media sosial seperti Facebook dan Instagram boleh diklasifikasikan sebagai entiti perniagaan yang dipercayai serta diyakini pelanggan.

Justeru, kementerian menggalakkan lebih ramai peniaga merebut peluang mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM BizTrust yang kini menyediakan perkhidmatan ini secara percuma sehingga 30 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KPDNHEP telah menerima sebanyak 9,116 aduan membabitkan perniagaan dalam talian seperti kesalahan tidak menerima barangan, perkhidmatan tidak seperti ditawarkan, kes tuntutan semula pembayaran dan iklan mengelirukan dalam tempoh bermula awal Januari hingga September lalu.

Katanya, pihak kementerian sudah mengambil tindakan ke atas 15 syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang sepanjang 2019 hingga September lalu mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.