X

Kindly register in order to view this article
!

Perubahan dasar kerajaan punca naik taraf LRA di Kedah lambat

Suraya Yaacob
A
A

ALOR SETAR - Penaiktarafan lima loji rawatan air (LRA) di Kedah yang diluluskan sejak 2017 belum dilaksanakan kerana beberapa faktor perubahan dasar oleh pihak kerajaan.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, projek tersebut sudah melalui proses penilaian tender pada 27 Oktober lalu dan bakal dilaksanakan tahun depan.

Menurutnya, naik taraf LRA iaitu di Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat dan meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di negeri ini.

"Projek berkenaan mengambil masa yang agak panjang disebabkan beberapa faktor perubahan dasar oleh pihak kerajaan.

"Berdasarkan unjuran permintaan air terawat di negeri Kedah, dengan siapnya lima LRA ini akan meningkatkan Rizab Margin Bekalan Air kepada 10 peratus," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat ingin tahu halangan pelaksanaan projek naik taraf lima LRA itu dan langkah kerajaan menyelesaikan isu berkenaan.

Suraya yang juga ADUN Sungai Tiang berkata, kerajaan telah merancang perkara itu untuk memenuhi keperluan industri terlibat bagi projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam dan Projek Kedah Rubber City (KRC) dekat Padang Terap.

"Ini terbukti hasil daripada permohonan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan bagi membina satu lagi LRA di Kubang Pasu bagi menampung keperluan domestik dan industri di kawasan SBEZ berjumlah lebih kurang RM350 juta," katanya.

Tambahnya, bagi pembangunan projek KRC, dengan pelaksanaan menaik taraf LRA Pelubang akan mengurangkan sokongan bekalan air dari LRA Padang Sanai di daerah Kubang Pasu sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di daerah Padang Terap termasuk untuk projek KRC.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!