Indeks jenayah di Sandakan catat 586 kes

PDRM
PDRM
A
A
A

SANDAKAN - Indeks jenayah di daerah ini mencatatkan 586 kes dari Januari hingga 25 November lepas, meningkat satu kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata statistik penyelesaian kes jenayah adalah sebanyak 60.63 peratus dari Januari hingga 25 November lepas.

Beliau yakin polis di daerah ini mampu untuk meningkatkan lagi peratus penyelesaian kes sehingga penghujung tahun ini.

"Secara keseluruhannya hasil komitmen serta usaha yang tidak pernah putus daripada warga polis Sandakan, saya yakin prestasi kita sehingga 25 November lepas masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulan November Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, enam wartawan antara 21 penerima surat penghargaan daripada Mohd Azhar, 15 pegawai rendah polis menerima kenaikan pangkat daripada Lans Koperal kepada Koperal dan tiga pegawai kanan serta pegawai rendah polis menerima pengesahan jawatan.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Mohd Azhar mengingatkan pegawai dan anggota polis di daerah ini agar mengutamakan amalan integriti yang bukan sahaja mampu untuk membentuk tingkah laku yang baik dan positif, malahan mampu menjadi individu lebih efektif serta produktif.

Katanya ia sejajar dengan komitmen pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak berkompromi dalam isu integriti melibatkan pasukan dan menyokong penuh penguatkuasaan yang drastik.

Menurutnya ia dilaksanakan oleh setiap kontinjen, Briged dan formasi sebagai satu daripada inisiatif untuk mencegah serta menutup ruang yang membuka peluang kepada penyelewengan, rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan warga PDRM.- Bernama