Salleh cadang papar senarai e-Kasih

Salleh (dua dari kiri) bersama beberapa ADUN lain yang hadir pada sidang DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Salleh (dua dari kiri) bersama beberapa ADUN lain yang hadir pada sidang DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan supaya senarai nama e-Kasih dipaparkan secara umum sebagai langkah ketelusan semua pihak bagi memastikan rakyat yang layak mendapat bantuan e-Kasih.

Beliau berkata, senarai e-Kasih itu harus dikemas kini segera bagi memastikan perkhidmatan sampai kepada semua yang layak.

"Keperluan untuk kemas kini senarai e-Kasih ini bagi membolehkan kerajaan dapat menilai ketelusan dan integriti penduduk kampung untuk memainkan peranan semak dan imbang selain memperbaiki sebarang kelemahan urus tadbir perkhidmatan itu supaya lebih cukup dan berkesan.

"Kita perlu pastikan hanya golongan sasar e-Kasih yang benar-benar memerlukan menerima bantuan tersenarai dan bantuan perlu disalurkan bersandarkan atas dasar kemanusiaan tanpa dipengaruhi oleh perbezaan bangsa, agama dan juga politik," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Jumaat lalu.

Salleh dalam pada itu turut meminta kerajaan Sabah mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu kemiskinan digital di negeri ini.

Katanya, kemiskinan digital merupakan satu keadaan serba kekurangan khususnya daripada segi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan masyarakat, sama ada dari segi kekurangan prasarana ICT atau kelemahan kemahiran ICT.

"Kemiskinan Digital ini tidak semestinya berkaitan dengan soal kedudukan ekonomi seseorang itu. Seseorang itu mungkin sudah mempunyai kelengkapan ICT seperti komputer, telefon pintar dan sambungan internet yang pantas, tetapi masih dianggap miskin digital.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana sesorang itu masih belum mahir menggunakan ICT sebaiknya untuk urusan utama harian di mana kini semuanya beroperasi dalam talian, seperti bekerja, berniaga, dan berurusan," katanya.

Menurutnya lagi, perkara itu disebabkan masyarakat terlalu biasa dengan komunikasi bersemuka dan masih belum dapat mempraktikkan konsep bekerja dari rumah dan urus niaga dalam talian.

"Isu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerana ia akan memberi kesan ekonomi sebenar dan menyebabkan Sabah ketinggalan lebih jauh dari arus pembangunan," katanya.

Sehubungan itu, Salleh berharap kerajaan dapat merancangkan kaedah sewajarnya atau menyampaikan insentif bersesuaian untuk menangani isu kemiskinan digital di negeri ini.