PPZ-MAIWP tawar pelbagai hadiah menarik untuk pembayar zakat

Ahmad Shukri (kiri) bersama Mohammed Hassan ketika melancarkan Kempen YEZ bagi tahun 2020 di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP), Dataran Shamelin, Taman Shamelim Perkasa hari ini.
Ahmad Shukri (kiri) bersama Mohammed Hassan ketika melancarkan Kempen YEZ bagi tahun 2020 di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP), Dataran Shamelin, Taman Shamelim Perkasa hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) melancarkan Kempen Year End Zakat (YEZ) bagi tahun 2020 untuk memberikan hebahan kepada masyarakat Islam tentang perkhidmatan pembayaran zakat terkini.

Menariknya Kempen Year End Zakat (YEZ) pada tahun ini ia diawalkan pada 16 November bagi menggalakkan orang ramai membayar lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, Kempen YEZ yang diadakan itu turut menyeru orang ramai supaya menyegerakan tanggungjawab berzakat selewat-lewatnya pada 31 Disember 2020 bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan taksiran tahun 2020.

"Setiap bayaran zakat bermula hari ini sehingga 31 Disember 2020 melalui saluran pembayaran yang disediakan PPZ-MAIWP, pembayar berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi beberapa kategori dan pemenang akan dipilih berdasarkan cabutan yang akan dijalankan bermula pertengahan dan juga akhir Disember nanti.

"Kempen YEZ kali ini bertemakan “Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi" yang menunjukkan keprihatinan kepada mereka yang masih mampu untuk berzakat demi sama-sama membantu golongan asnaf walaupun

dalam suasana sukar wabak Koronavirus(Covid-19)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP), Dataran Shamelin, Taman Shamelim Perkasa hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, pelaksanaan kempen pada kali ini juga turut membawa sedikit kelainan dengan memberi tumpuan kepada usaha membantu asnaf dan mereka yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini, pembayar zakat berpeluang untuk memenangi 1,000 e-baucar usahawan asnaf dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM50,000 dan baucer ini hanya boleh ditebus di kedai-kedai yang diusahakan oleh usahawan asnaf.

"Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat membantu asnaf menjana pendapatan bagi menampung keperluan harian di waktu sukar ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, sehingga Oktober lalu, Khaira PPZ telah membelanjakan sebanyak RM8.5 juta yang telah memberikan manfaat kepada lebih 35,000 penerima.

Ahmad Shukri Yusoff
Ahmad Shukri Yusoff

Jelasnya, antara perkhidmatan yang disediakan sepanjang kempen YEZ pada kali ini adalah dengan membuka 10 kaunter PPZ MAIWP.

"Waktu operasi sepanjang November ini masih lagi seperti biasa iaitu bermula jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang pada Isnin hingga Jumaat, Sabtu minggu kedua, empat dan lima manakala bagi Disember pula, kaunter juga akan beroperasi pada waktu yang sama 8.15 pagi hingga 4.45 petang setiap hari termasuk cuti umum.

"Selain itu, sebagai usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, PPZ-MAIWP menggalakkan urusan pembayaran zakat dilakukan secara dalam talian melalui www.zakat.com.my dan bayaran boleh dilakukan 24 jam sehari di mana sahaja," katanya.

Tambahnya, PPZ MAIWP juga menyediakan perkhidmatan khas 'Door to Door' melalui Zakat Ride dan Kaunter Zakat Bergerak (KZB) kepada pembayar yang tidak berkesempatan untuk ke kaunter serta mereka yang mahukan layanan secara personal.

"Bayaran minima bagi perkhidmatan ini adalah sebanyak RM2,000 dan hanya beroperasi dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

"Selain itu, pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui ejen-ejen rasmi yang telah dilantik oleh PPZ-MAIWP iaitu melalui perbankan internet, portal online, e-wallet, kaunter-kaunter bank dan pos," katanya.

Jelasnya, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pembayar zakat serta kakitangan terjamin, PPZ-MAIWP sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

"Diharapkan dengan kemudahan saluran pembayaran yang pelbagai ini, pembayar sedia ada akan terus menunaikan zakat di PPZ-MAIWP dan kami juga amat mengalu-alukan bakal pembayar baharu.

"Semoga dengan zakat yang dibayar, lebih ramai golongan asnaf yang dapat disantuni khususnya di dalam situasi pandemik Covid-19 sekaligus menjadi hero kepada asnaf yang akan didendangkan di akhirat kelak.

"Bersegeralah untuk berzakat untuk kita mendapat kebaikan dunia dan akhirat," katanya.