Kluster Jeri dikesan di Kota Tinggi, Mersing, Muar

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu kluster jangkitan baharu wabak koronavirus (Covid-19) iaitu Kluster Jeri dikesan di negeri ini semalam melibatkan daerah Kota Tinggi, Mersing dan Muar.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan dikenal pasti selepas saringan di pintu masuk antarabangsa Singapura pada 6 November lepas.

Menurutnya, terdapat sembilan kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam membabitkan Kluster Jeri (baharu), Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang.

"Daripada jumlah itu, tiga kes daripada Kluster Jeri, satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan lima kes daripada lain- lain saringan Covid-19.

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sebanyak 994 kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, peningkatan kes dilaporkan di daerah Kota Tinggi ekoran pencarian kes secara aktif dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan oleh pihak jabatan kesihatan negeri.

"Sehingga semalam, seramai 1170 individu telah disaring dan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 26 kes, 535 disahkan negatif dan 609 masih menunggu keputusan.

"Didapati kluster baharu yang dilaporkan kebelakangan ini disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat yang mula tidak peka mengenai keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid- 19.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak lagi mengelakkan 3 S, iaitu mengelakkan pergaulan di kawasan sempit, mengelakkan keadaan sesak dan mengelakkan sembang rapat," katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai mematuhi dan mengamalkan normal baharu iaitu penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kebersihan diri.