SuperKip azam berikan yang terbaik di Algarve

Khairul Idham - Foto: Petronas SIC
Khairul Idham - Foto: Petronas SIC
A
A
A

SETELAH gagal menamatkan perlumbaan pada Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo semalam, pelumba Moto3 Petronas SRT Khairul Idham Pawi berazam untuk memberikan tunggangan terbaiknya pada Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antabangsa Algarve, hujung minggu ini.

Khairul Idham yang juga dikenali sebagai SuperKip berkata, biarpun menyedari GP Portugal adalah perlumbaan terakhir bagi kejuaraan GP musim ini, dia tetap mahu mencatatkan keputusan yang terbaik buat pasukan.

Menurut Khairul Idham, dia pernah menang ketika berlumba di Portimao pada musim 2015 lalu; ketika berlumba dalam kategori CEV.

“Saya pernah menang di litar berkenaan, tetapi dalam CEV. Ketika mula-mula berlumba di situ saya menamatkan perlumbaan dalam kedudukan empat pelumba terbaik.

“Semoga pada perlumbaan terakhir ini, saya dan rakan sepasukan John McPhee dapat melakukan sesuatu dan menamatkan perlumbaan dengan keputusan yang baik,” katanya sejurus tamat perlumbaan semalam.

Untuk rekod, Khairul Idham gagal menamatkan perlumbaan setelah terlibat dalam kemalangan semalam ketika perlumbaan hanya berbaki dua pusingan untuk ditamatkan.

Sekali gus, menyaksikan pelumba kelahiran Kampung Gajah Perak itu masih gagal meraih sebarang mata dalam kejuaraan dunia musim ini.

Sementara itu rakan sepasukannya, John McPhee yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-11, turut berazam untuk menamatkan perlumbaan musim ini dengan catatan terbaik di GP Portugal nanti.

Artikel Berkaitan:

“Saya hampir mengalami kemalangan hari ini (semalam), apabila seorang pelumba nyaris merempuh saya.

“Akibatnya saya hilang kawalan dan kembali berlumba dalam kelompok pelumba di belakang sambil cuba untuk kembali berada dalam kelompok pelumba di barisan hadapan.

“Secara keseluruhannya, hujung minggu kali ini tidak begitu baik, tetapi saya mahu memastikan saya mencatatkan keputusan berbeza pada perlumbaan di GP Portimao hujung ini,” katanya.