Jalan Persekutuan dilimpahi air pasang besar

Keadaan jalan sesak yang menyebabkan kiri dan kanan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang, dinaiki air akibat fenomena air pasang besar awal pagi tadi.
Keadaan jalan sesak yang menyebabkan kiri dan kanan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang, dinaiki air akibat fenomena air pasang besar awal pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak dua pam 5 cusec ditempatkan di kawasan Pasir Penambang bagi mengepam keluar air berikutan fenomena air pasang besar yang menyebabkan sebahagian besar kiri dan kanan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang dinaiki air awal pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, walaupun Jalan Persekutuan itu dinaiki limpahan air pasang besar, namun mulai beransur-ansur surut.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat kajian berhubung perkara itu.

"JKR dan JPS akan melaksanakan penambahbaikan serta kerja-kerja naik taraf jalan bagi memastikan kelancaran aliran air di jalan raya," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas mengenai fenomena air pasang besar yang melanda lima daerah di negeri ini, Muhammad Izzat berkata, fenomena memasuki hari kedua itu masih dalam keadaan terkawal dan tiada limpahan besar air sehingga mengakibatkan kejadian banjir.

Katanya, lima daerah iaitu di Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang dilanda fenomena itu dengan ketinggian paras air laut 5.6 meter dicatatkan pada jam 6.25 pagi tadi.

"Di Kuala Selangor misalnya hanya berlaku sedikit limpahan kecil dikesan melepasi ban iaitu di kawasan Bagan Pasir Tanjong Karang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Bagan Sungai Kajang dan Kampung Tok Adam.

"Kawasan lain turut terlibat di daerah itu ialah Ikan Bakar Pantai Jeram, Bagan Pasir Penambang, Bagan Sungai Janggut, Tambak Jawa dan Sungai Buloh Sasaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, hasil pemantauan di Kuala Langat pula mendapati terdapat ban rebak dengan anggaran 10 meter.

"JPS telah menggerakkan jentera bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera, namun tiada kawasan penempatan terjejas selain hanya berlaku sedikit limpahan kecil melepasi ban di beberapa kawasan di Kuala Langat," katanya.

Katanya, tiga kawasan lain pesisir pantai di Selangor iaitu di Klang, Sepang dan Sabak Bernam hanya berlaku sedikit limpahan kecil akibat fenomena itu.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat turut memaklumkan keadaan di tiga daerah itu selamat dan terkawal, selain tiada kawasan penempatan terjejas.

"Kita dapati kawasan dilimpahi air pasang mulai beransur ansur surut serta ban di pesisir pantai juga kukuh dan dalam keadaan baik," katanya.