Lima beradik didakwa edar dadah

Enam lelaki termasuk lima beradik didakwa di Mahkamah Majistret Tapah atas pertuduhan mengedar dadah hari ini.
Enam lelaki termasuk lima beradik didakwa di Mahkamah Majistret Tapah atas pertuduhan mengedar dadah hari ini.
A
A
A

TAPAH - Lima beradik bersama seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dua minggu lalu.

Tertuduh, S Sridharan, 20; S Suthentiran, 21; S Suthesan, 18; S Rathiswaran, 23 dan adiknya berusia 17 tahun mengangguk faham namun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka bagi mencapai niat bersama telah mengedar dadah berbahaya tersebut seberat 37.2 kilogram di Lot 11878 Mukim Chenderiang kira-kira jam 9.15 pagi pada 4 November lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Januari 2021 untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap warga Myanmar, Kyaw, 23, ditangguhkan kepada 9 Disember ini bagi mendapatkan khidmat jurubahasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Rajit Singh.

Pada 5 November lalu, Sinar Harian melaporkan kejayaan polis membongkar sindiket pemprosesan dadah yang menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sebagai makmal mini.

Artikel Berkaitan:

Operasi Khas yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah merampas dadah dan pelbagai aset bernilai RM2.12 juta serta menahan 10 lelaki berusia 17 hingga 45 tahun dalam lima serbuan sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis bongkar makmal proses dadah dalam ladang kelapa sawit