[VIDEO] Kerajaan komited tangani penyebaran berita palsu

Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus mengenalpasti pendekatan paling ampuh serta mampan untuk mengekang penyebaran berita palsu terutamanya berkaitan pandemik koronavirus (Covid-19).
Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus mengenalpasti pendekatan paling ampuh serta mampan untuk mengekang penyebaran berita palsu terutamanya berkaitan pandemik koronavirus (Covid-19).
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus mengenalpasti pendekatan paling ampuh serta mampan untuk mengekang penyebaran berita palsu terutamanya berkaitan pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia bagi memastikan rakyat mendapat berita dan laporan yang sah serta terkini.

"Pada masa sama KKMM menyarankan seluruh rakyat bertindak menangani penyebaran berita palsu yang boleh menyebabkan keadaan gusar dan mengancam ketenteraman awam.

"Nasihat dihebahkan melalui pelbagai pesanan awam dengan mesej tidak pasti jangan kongsi," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) berhubung apakah mekanisme yang dilakukan oleh pihak kementerian bagi membendung masalah penyebaran berita palsu terutamanya berkaitan pandemik Covid-19 yang telah menimbulkan panik dan menggugat ketenteraman awam.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, KKMM melalui agensi di bawahnya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Pertubuhan Berita Naisonal Malaysia (Bernama) berterusan memberikan info yang tepat dan tulen berkenaan dasar-dasar kerajaan.

Selain itu katanya, lebih sejuta risalah dalam pelbagai bahasa termasuk Iban dan Kadazan telah disediakan berkaitan Covid-19 yang dicetak serta diedarkan di seluruh negara.

"Dalam perkembangan sama, SKMM turut menubuhkan Pasukan Respons Pantas (PRP) dalam usaha mengekang sebarang penyebaran berita palsu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menyentuh mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang melakukan penyebaran berita atau maklumat palsu, beliau berkata ketika ini ia ditangani melalui undang-undang yang sedia ada iaitu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ini kerana katanya, Akta Antiberita Tidak Benar telah dimansuhkan 30 Januari lalu.

"Dengan berkuatkuasanya Akta 852 Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020, Akta 825 yang baru diwartakan pada 30 Januari 2020.

"Sebarang berita palsu, laporan palsu dan sebarang penyalahgunaan media sosial ditangani melalui undang-undang yang sedia ada," katanya.