Beli barangan tempatan atasi krisis

A
A
A

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan mendalam kepada sektor ekonomi menyebabkan lebih 800,000 hilang pekerjaan atau mata pencarian. Perubahan kepada normal atau kelaziman baharu menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan membebankan pengguna.

Dalam Belanjawan 2021, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima peruntukan besar iaitu kenaikan perbelanjaan mengurus sebanyak 6.33 peratus daripada RM1.019 bilion pada 2020 kepada RM1.084 bilion dalam bajet 2021.

KPDNHEP juga menerima peruntukan kira-kira RM708.8 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengawal kenaikan harga barang.

Ternyata pembentangan Belanjawan 2021 menyerlahkan keprihatinan kerajaan terhadap keresahan dan kemaslahatan rakyat sebagai pengguna yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Belanjawan ini juga bukti kerajaan memahami denyut hati dan masalah yang dihadapi oleh 32 juta pengguna di negara ini.

Belanjawan itu sekali gus dapat menyuntik semangat baharu kepada semua pihak dalam rantaian ekonomi domestik. Ia juga menyeru kita sebagai pengguna agar bersama-sama mendukung strategi pemulihan ekonomi negara.

Pengguna di Malaysia perlu mengutamakan pembelian barangan keluaran tempatan yang terbukti kualitinya.

Inilah masanya untuk pengguna membuktikan kesetiaan dan kecintaan terhadap tanah air dengan menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia yang diperkenalkan selama ini.

Artikel Berkaitan:

Belanjawan 2021 turut mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan membantu mengurangkan beban kos sara hidup pengguna apabila masih mengekalkan beberapa program subsidi utama, yang mendukung daya tahan ekonomi negara. Malah, beberapa inisiatif yang berpaksikan rakyat turut diluluskan.

Contohnya Program Penstabilan Harga Minyak Masak (RM400 juta), Program Pengedaran Barang Perlu, LPG & Community Drumming (RM200 juta), Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (RM40 juta) dan Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (RM40 juta).

Melalui inisiatif itu juga, barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta pengguna pada harga yang dikawal.

Usaha itu juga seiring dengan komitmen KPDNHEP bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama di kawasan terbabit.

Program Beli Barangan Malaysia juga boleh dimanfaatkan dan produk-produk tempatan dapat dikembangkan, khususnya produk daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera.

Ini sejajar dengan usaha Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Julai lalu bagi memulihkan dan mengekalkan daya saing ekonomi pascapandemik Covid-19.

Bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan, beberapa inisiatif akan dilaksanakan.

Antaranya RM25 juta bagi program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik serta program Beli Barangan Buatan Malaysia; RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro; serta RM50 juta bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui usahasama dengan platform e-dagang utama.

Jelaslah, Belanjawan 2021 melambangkan cakna dan keprihatinan kerajaan yang memahami keresahan pengguna yang masih bergelut dengan impak wabak Covid-19. Inisiatif yang dirangka melalui KKDNHEP ini ternyata mengutamakan kesejahteraan pengguna agar mereka terus terbela.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA