Empat suspek kes pecah rumah ditahan

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Sri Selayang, Batu Caves pada 25 September lalu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua mereka diberkas secara berasingan di Kawasan Country Homes, Rawang di sini kelmarin.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Rawang menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah flat pada jam 12.30 tengah malam dan menemui pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan pecah rumah.

"Kita merampas sejumlah jam tangan dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama serta peralatan pecah rumah," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki disyaki rakan sejenayah turut ditahan di kawasan berhampiran satu jam kemudian sebelum dua lagi suspek dicekup pada jam 3 pagi dalam serbuan di sebuah rumah di lokasi sama.

"Suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan tetapi polis berjaya menahan mereka selain turut merampas dua bilah pisau.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia 19 hingga 31 tahun itu terlibat dalam kes pecah rumah," katanya.

Katanya, tangkapan dipercayai membantu menyelesaikan tujuh kes pecah rumah dan curi kenderaan selain satu kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang berlaku di Rawang dan Selayang," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kejadian pada 25 September lalu, seorang lelaki mendakwa rumahnya di Taman Sri Selayang dipecah masuk dan dia kehilangan sebuah telefon bimbit dan wang tunai dianggarkan RM1,000.

"Tiga daripada mereka ditahan reman bermula semalam sehingga 20 November ini manakala seorang lagi direman empat hari bermula semalam hingga Selasa," katanya.

Arifai berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan menurutnya, dua warga Myanmar yang dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Taman Sri Gombak ditahan di sini semalam.

"Tangkapan itu susulan laporan seorang lelaki berusia 32 tahun yang berada di sebuah rumah di Cyberjaya.

"Mangsa mendapat pesanan daripada aplikasi Wyze iaitu kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya di Taman Sri Gombak yang mengesan pergerakan dua suspek pada jam 2.09 pagi," katanya.

"Pemilik rumah segera pulang dan mendapati kesan umpil tingkap yang dipercayai dipecah masuk penjenayah.

"Lelaki itu turut mendapati dekoder CCTV miliknya hilang dan anggaran kerugian RM400," katanya.

Katanya, sepasukan polis Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Daerah Gombak yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba di rumah berkenaan pada jam 2.20 pagi.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, dua suspek berusia 30 dan 45 tahun itu dilihat cuba melarikan diri dengan melompat pagar dari rumah mangsa.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis sebelum kedua-duanya berjaya ditahan," katanya.

Arifai berkata, kedua-dua suspek direman 14 hari bermula semalam hingga 28 November ini dan mereka disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.