Didesak berundur selepas lima hari pegang jawatan

Merino kini berdepan tekanan kerana protes ganas melanda Peru. - Foto Agensi
Merino kini berdepan tekanan kerana protes ganas melanda Peru. - Foto Agensi
A
A
A

LIMA - Presiden sementara Peru, Manuel Merino yang baru memegang jawatan selama lima hari berdepan desakan supaya meletak jawatan selepas siri protes ganas tercetus di negara itu dan turut meragut tiga nyawa semalam.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di jalan utama sejak beberapa hari lalu sebagai membantah penyingkiran pendahulunya, Martin Vizcarra yang dipecat Kongres kerana berdepan tuduhan rasuah pada Isnin lalu.

“Saya telah meminta Merino akur dengan tuntutan peserta protes dan segera berundur,” kata Ketua Kongres, Luis Valdez.

Difahamkan, seramai tujuh daripada 18 menteri dalam Kabinet Merino juga telah meletak jawatan selepas pihak berkuasa menggunakan tindakan kekerasan ke atas kumpulan demonstrasi terbabit.

Merino yang dilantik sebagai Presiden ketiga Peru dalam tempoh empat tahun menyatakan beliau akan menghormati Pilihan Raya Umum dijadualkan pada 11 April 2021 dan sedia menyerahkan kuasa pada 28 Julai 2021 pada hari mandat penggal pemerintahan Vizcarra berakhir. - AFP

Artikel Berkaitan: