Siswazah utamakan gaji, bonus dalam pilih pekerjaan

KUALA LUMPUR - Tinjauan yang dijalankan oleh syarikat pengambilan siswazah, Talentbank baru-baru ini mendapati siswazah lelaki dan wanita di negara ini mengutamakan gaji dan bonus dalam pilihan pekerjaan mereka.
Tinjauan mendapati gaji dan bonus adalah pilihan utama daripada lima keutamaan yang dicari oleh mahasiswa di tempat kerja ideal mereka, selain peluang pengembangan kerjaya, bos dan pemimpin yang baik, peluang belajar dan pembangunan, budaya syarikat yang baik dan waktu kerja yang fleksibel.
Pengasas Talentbank, Ben Ho berkata, kebanyakan siswazah berkongsi pendapat bahawa mereka menjangkakan gaji permulaan antara RM2,500 dan RM3,500 dalam pekerjaan pertama serta elaun latihan praktikal RM1,000 sebulan.
"Namun, responden lelaki memilih pengembangan kerjaya sebagai keutamaan kedua, sementara responden wanita mencari bos dan pemimpin yang baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.