Cuti 80 peratus anggota bomba dibekukan hadapi tengkujuh

 Ismail Abd Muttalib
Ismail Abd Muttalib
A
A
A

MARAN - Cuti 80 peratus daripada 15,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dibekukan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, meskipun demikian pihaknya tidak menafikan hak bercuti bagi 20 peratus anggota lagi untuk hal-hal kecemasan dan lain-lain.

Menurutnya, perkhidmatan anggota JBPM ini sangat penting dalam memastikan kerja-kerja seperti persiapan dari segi logistik, latihan menyelamat musim banjir dan pemantauan kawasan berisiko dapat dilaksanakan secara holistik.

“Kerajaan yakin dengan keupayaan dan kepakaran anggota bomba yang kini sentiasa bersiap siaga memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika berlakunya banjir ekoran musim tengkujuh.

“Anggota JBPM akan berganding bahu dengan pasukan barisan hadapan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan catur piala Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, di Pahang sejumlah 973 daripada 1,058 anggota bomba dibekukan cutinya untuk menghadapi musim tengkujuh.

Dari segi persiapan fizikal katanya, setiap balai seluruh negara telah pun menjalankan latihan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan: