Cubaan bunuh PM Armenia gagal

Penduduk perkampungan di luar bandar Kalbajar bertindak membakar rumah mereka sebagai tanda protes terhadap perjanjian damai Armenia-Azerbaijan tersebut. Gambar kecil: Nikol Pashinyan. - Foto: Agensi
Penduduk perkampungan di luar bandar Kalbajar bertindak membakar rumah mereka sebagai tanda protes terhadap perjanjian damai Armenia-Azerbaijan tersebut. Gambar kecil: Nikol Pashinyan. - Foto: Agensi
A
A
A

YEREVAN - Armenia didakwa berjaya menghalang cubaan membunuh dan rampasan kuasa ke atas Perdana Menteri, Nikol Pashinyan selepas beliau kini berada di bawah tekanan banyak pihak sejak menandatangani perjanjian gencatan senjata kontroversi dengan Azerbaijan.

Semalam, Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (NSS) memaklumkan beberapa individu termasuk sukarelawan perang, Ashot Minasyan yang merancang plot itu telah ditahan.

"Mereka juga sudah merancang calon berpotensi untuk menggantikan Perdana Menteri," ujar NSS dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pashinyan memberitahu, beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menandatangani perjanjian damai tersebut bagi mengelakkan Armenia kehilangan lebih banyak wilayah.

Beliau juga sedia bertanggungjawab atas keputusan itu, namun menolak desakan banyak pihak supaya meletak jawatan.

Sejak Selasa lalu, ribuan penunjuk perasaan telah mengadakan protes dan menuntut pengunduran beliau gara-gara kandungan perjanjian tersebut yang memberikan hak ke atas kawasan di wilayah pertikaian di Nagorno-Karabakh kepada Azerbaijan untuk menghentikan pertempuran sengit yang berlarutan selama enam minggu.

Penduduk di daerah Kalbajar di Azerbaijan yang dikawal kumpulan pemisah Armenia selama beberapa dekad mula meninggalkan kawasan itu secara beramai-ramai pada hari ini.

Asap tebal turut menyelubungi ruang udara kawasan lembah berhampiran perkampungan Charektar selepas penduduk bertindak membakar rumah mereka sebagai tanda protes terhadap langkah pemindahan itu.

Artikel Berkaitan:

Kandungan penting perjanjian itu termasuk Yerevan bersetuju menyerahkan semula daerah Aghdam menjelang Jumaat ini dan daerah Lachin pada 1 Disember depan yang dikuasai kumpulan pemisah Armenia sejak perang tercetus pada 1990-an.

Sejak awal minggu lalu, ribuan anggota pasukan misi pengaman Rusia telah ditempatkan di Nagorno-Karabakh untuk mengawal situasi keselamatan di wilayah tersebut. - Agensi