Matta gesa kerajaan campur tangan, lanjut moratorium pinjaman

Matta menggesa kerajaan campur tangan untuk memastikan syarikat ejen dan pajakan melanjutkan moratorium pinjaman bagi membantu pengusaha bas khususnya yang terjejas akibat pandemik Covid-19
Matta menggesa kerajaan campur tangan untuk memastikan syarikat ejen dan pajakan melanjutkan moratorium pinjaman bagi membantu pengusaha bas khususnya yang terjejas akibat pandemik Covid-19
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan campur tangan dan mengambil langkah sesuai bagi memastikan syarikat kredit dan pajakan dapat melanjutkan lagi moratorium pinjaman dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya bimbang kerana ketika ini syarikat kredit dan pajakan tidak melanjutkan moratorium pinjaman seperti nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, menurut laporan media, sebanyak 10,000 pengusaha bas kini berhutang sehingga mencecah RM3 bilion, sedangkan mereka sudah lama tidak dapat menjalankan perniagaan sejak Mac lalu akibat Covid-19 tetapi masih perlu membuat pembayaran balik kepada syarikat kredit dan pajakan.

"Ironinya walaupun dalam perniagaan pinjaman dan pajakan, syarikat kredit dan pajakan tidak dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

"Sedangkan sudah lebih enam bulan industri pelancongan terutamanya pengusaha bas yang cuba mengetengahkan isu tersebut tetapi sehingga kini masih tiada tindakan untuk menangani isu ini secara serius," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, perkara itu sudah dibangkitkan sebelum ini apabila Matta menerima aduan daripada ahli mereka mendakwa syarikat kredit dan pajakan membuat peraturan mereka sendiri berkaitan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman berbanding melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh BNM.

"Apa yang menyedihkan, tiada satu kementerian pun yang berkaitan menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam industri pelancongan sehingga pandemik Covid-19 ini dilihat memberi kesan secara konsisten kepada pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Kegagalan menangani isu yang berlaku khususnya dalam sektor pelancongan akan memberi kesan untuk industri itu berkembang semula dalam masa terdekat dan berpotensi dianggap sebagai 'industri mati' pada 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kok Liang berkata, Matta melihat kegagalan untuk meletakkan syarikat kredit dan pajakan di bawah bidang kuasa BNM atau pihak berkuasa lain semasa pandemik Covid-19 terutamanya berkait isu moratorium menyebabkan industri pelancongan terus berdepan masalah sukar.

"Sudah tiba masanya kerajaan meletakkan syarikat kredit dan pajakan ini di bawah pemerhatian Akta Perkhidmatan Kewangan atau peraturan lain yang berkaitan.

"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan tindakan sesuai untuk memastikan peranan syarikat-syarikat berkenaan sejajar dengan kebajikan, kepentingan awam dan kesejahteraan negara dalam tempoh krisis yang sukar ini," katanya.