Sembilan laporan polis kes penipuan kontraktor binaan

Laporan Sinar Harian semalam berkaitan dakwaan 17 individu mengalami kerugian apabila ditipu sebuah syarikat pembinaan.
Laporan Sinar Harian semalam berkaitan dakwaan 17 individu mengalami kerugian apabila ditipu sebuah syarikat pembinaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis Kedah menerima sembilan laporan polis membabitkan penipuan pembinaan dan pengubahsuaian rumah sehingga kerugian mencecah RM535,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, modus operandi yang digunakan ialah memperdaya mangsa dengan mengiklankan perkhidmatan menerusi Facebook.

Susulan itu, polis menahan seorang kontraktor binaan berusia 38 tahun dari Sungai Petani yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Lelaki berkenaan ditahan di kawasan Sungai Petani oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda jam 10.30 malam tadi selepas dijejaki lebih kurang enam jam.

"Semakan mendapati sembilan laporan polis dibuat ke atas suspek membabitkan modus operandi dan individu yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Siasatan awal, suspek mengaku telah menggunakan wang deposit yang dibayar mangsa untuk tujuan pusingan modal perniagaan," katanya.

Katanya, lelaki itu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sinar Harian semalam melaporkan, 17 individu mendakwa mengalami kerugian mencecah RM481,000 setelah ditipu sebuah syarikat apabila projek pembinaan rumah baharu dan pengubahsuaian rumah di sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tidak seperti dijanjikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontraktor direman kes tipu bina, ubah suai rumah

17 individu rugi RM481,000 dakwa ditipu syarikat pembinaan

Artikel Berkaitan: