568 ditahan termasuk 131 'berjimba' di pusat hiburan

Ismail Sabri Yaakob . - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob . - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun negara sedang mengalami gelombang ketiga penularan pandemik koronavirus (Covid-19), namun masih ramai yang berdegil apabila terus berhibur di pusat hiburan dengan seramai 131 individu ditahan atas kesalahan berkenaan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka antara 568 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam dan daripada jumlah itu, 516 dikompaun, 49 direman dan tiga lagi dijamin.

Kesalahan ingkar arahan PKPP yang lain termasuk gagal mematuhi penjarakan fizikal (160), tidak memakai pelitup muka (116), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (43) dan lain-lain (62).

Dalam pada itu menurutnya, seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng hasil daripada kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan 981 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP semalam pula mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan.

"KPDNHEP juga membuat 687 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan ke atas peruncit (493), pemborong (162) dan pengilang (32).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, seramai 67,555 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 67 hotel serta 20 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta sejak 24 Julai hingga semalam.

“Daripada jumlah itu 9,488 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 388 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 52,679 individu lagi didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya bahawa mereka pulang dari 36 negara. - Bernama