Werner gembira bantu kemenangan Jerman

Werner menanduk masuk gol kedua Jerman pada perlawanan berkenaan. Foto: twitter.com
Werner menanduk masuk gol kedua Jerman pada perlawanan berkenaan. Foto: twitter.com
A
A
A

BINTANG Chelsea, Timo Werner gembira apabila berjaya membantu Jerman menewaskan Ukraine 3-1 pada aksi Liga Negara-Negara UEFA (Nations Cup) di Leipzig kelmarin.

Menurutnya, dua gol berkenaan nyata begitu istimewa buatnya berikutan ‘kepulangannya’ untuk beraksi di gelanggang bekas pasukannya, RB Leipzig.

“Menjaringkan dua gol di Leipzig iaitu tempat di mana saya menabur bakti selama empat tahun sebelum ini adalah sesuatu yang hebat.

“Saya gembira dapat kembali ke sini, namun agak malang kerana kali ini aksi diteruskan tanpa kehadiran penonton.

“Apa pun secara keseluruhannya, kami beraksi dengan baik dan persembahan kami semakin meningkat dari sehari ke sehari termasuk juga di benteng pertahanan pasukan,” katanya.

Pada perlawanan itu Jerman dikejutkan oleh gol pendahuluan Ukraine pada minit ke-12 yang dijaringkan oleh Roman Yaremcuhuk.

Bagaimanapun skuad Die Mannschaft itu berjaya bangkit apabila Leroy Sane menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-23 sebelum Werner menjaringkan dua gol pada minit ke-33 dan 64 bagi mengesahkan kemenangan pasukan.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Jerman kini berada pada kedudukan teratas Kumpulan 4 dengan Sembilan mata hasil dua kemenangan dan seri tiga kali daripada lima perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pengendali Jerman Joachim Low mengakui berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan kesebelasan anak didiknya pada perlawanan berkenaan.

“Perlawanan itu bukannya satu perlawanan yang mudah buat kami. Semua orang boleh lihat ‘cara’ Ukraine bermain.

“Oleh itu pada separuh masa pertama, kami telah tetapkan tempoh permainan yang tinggi dan menguasai perlawanan berbanding pada sesi kedua di mana kami sudah mula hilang tumpuan dan banyak kali kehilangan bola,” katanya.