KPWKM tambah baik pengumpulan data mangsa banjir

Rina (tiga, kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir, Latifah Ahmad, 48, (tiga, kanan), bersama suaminya Mohd Nor Waled, (dua dari kanan), di Pekan Batu 18, Hulu Langat hari ini. Foto Bernama
Rina (tiga, kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir, Latifah Ahmad, 48, (tiga, kanan), bersama suaminya Mohd Nor Waled, (dua dari kanan), di Pekan Batu 18, Hulu Langat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah baik proses pengumpulan data mangsa banjir di seluruh negara, agar ia dapat digunakan bagi membantu pihak berkaitan dalam mencari penyelesaian menangani banjir di kawasan tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya mempunyai data mangsa banjir yang diperoleh melalui pendaftaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh digunakan kerajaan bagi mengenal pasti punca banjir di beberapa tempat.

Beliau berkata, tahun lepas terdapat kira-kira 85,000 orang mangsa banjir di seluruh negara dan daripada data ini bantuan kerajaan akan dapat diagihkan dengan lebih cekap, namun apa yang lebih penting adalah mengenal pasti dengan tepat punca banjir itu.

“Ada mangsa banjir bangkitkan isu sungai cetek, jadi mungkin kalau (kerajaan) dapat dalamkan sungai itu, dapat kurangkan banjir di kawasan berkenaan. Ini yang kita akan ambil maklum untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bantuan makanan dan barang keperluan asas kepada mangsa banjir di Pekan Batu 18 Hulu Langat dekat sini hari ini.

Rina (kiri) menyerahkan bantuan kepada seorang mangsa banjir, Esah Mohd Din (kanan) pada majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir daerah Hulu Langat di Balai Raya Pekan Batu 18, Hulu Langat hari ini. Foto Bernama
Rina (kiri) menyerahkan bantuan kepada seorang mangsa banjir, Esah Mohd Din (kanan) pada majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir daerah Hulu Langat di Balai Raya Pekan Batu 18, Hulu Langat hari ini. Foto Bernama

Seramai 100 penduduk di kawasan Dusun Tua, Hulu Langat yang terjejas akibat banjir berikutan kenaikan paras air Sungai Langat selepas hujan lebat tanpa henti selama enam jam pada 5 November lalu menerima bantuan hari ini.

Sementara itu, Rina berkata, sukarelawan yang akan bertugas memberi bantuan kepada mangsa banjir nanti telah diberikan taklimat berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik itu.

"Ujian saringan koronavirus (Covid-19) turut dijalankan dan pegawai dari pusat kesihatan akan ditempatkan di PPS. Sekiranya ada mangsa banjir yang mempunyai gejala seperti demam atau batuk, mereka akan diasingkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, penempatan mangsa di pusat bantuan banjir turut diteliti semula, antaranya memastikan hanya dua keluarga ditempatkan dalam sebuah kelas di sekolah berbanding empat keluarga sebelum ini, manakala PPS yang lebih besar turut dikenal pasti bagi menempatkan lebih ramai mangsa banjir. - Bernama