Rasuah penipuan SMS: Reman enam individu dilanjut

Antara individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan lanjutan reman.
Antara individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan lanjutan reman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perintah reman terhadap enam suspek disyaki terbabit kes rasuah sindiket penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) dilanjutkan antara satu hingga dua hari lagi bermula hari ini.

Menurut sumber, perintah itu dikeluarkan Majistret Nur Aisyah Mohd Yusof di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagaimanapun, seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes itu selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perintah reman terhadap empat suspek berkenaan disambung selama dua hari, manakala dua lagi termasuk seorang wanita disambung sehari lagi.

"Mereka yang berusia antara 39 tahun hingga 49 tahun itu merupakan pengarah syarikat, pekerja syarikat swasta dan pegawai syarikat telekomunikasi.

"Kesemua individu itu dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan pelan prabayar," katanya.

Terdahulu, tiga pengarah syarikat termasuk dua bergelar 'Datuk' direman lima hari sehingga 14 November berhubung kes sama kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan, bagi tujuan penipuan berkenaan.

Kemudian seorang lagi pegawai syarikat telekomunikasi direman lima hari sehingga 15 November dan dua lagi individu termasuk seorang ketua pegawai teknologi sebuah syarikat telekomunikasi, direman lima hari sehingga 16 November.

Artikel Berkaitan: