Inisiatif untuk mangsa kemalangan jalan raya dilancarkan

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ikatan Komuniti Selamat melancarkan inisiatif untuk mangsa kemalangan jalan raya dikenali sebagai IkatanCare for Road Traffic Victims, bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia hari ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata di Malaysia, lebih setengah juta kemalangan jalan raya dilaporkan menyaksikan 6,000 mangsa telah terkorban dengan purata 17 kematian setiap hari.

Menurutnya, walaupun tidak banyak yang dapat dilakukan kepada mangsa yang terkorban dalam nahas jalan raya, namun keluarga yang ditinggalkan memerlukan bantuan bagi menangani kesan psikologi akibat kehilangan orang tersayang.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan juga memerlukan bantuan dan sokongan kerana trauma yang dihadapi menjejaskan harapan mangsa kembali ke dalam masyarakat.

“Mangsa boleh kembali ke dalam masyarakat dengan bantuan rawatan yang betul, pemulihan, prostesis dan majikan.

“Ikatan Komuniti Selamat menyeru pihak berkepentingan untuk tampil bekerjasama dengan kami dan menyediakan bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya. Jangka pendek, melalui IkatanCare for Road Traffic Victims adalah inisiatif yang menyediakan sokongan profesional dalam membimbing mangsa kembali ke dalam masyarakat,” katanya.

Sempena dengan pelancaran IkatanCare for Road Traffic Victims, Lee berkata Ikatan Komuniti Selamat mengumumkan satu sesi webinar akan diadakan pada Januari 2021, menyaksikan sekumpulan pakar akan berbincang dan berkongsi pandangan secara maya dalam menangani cabaran mangsa kemalangan jalan raya.

Katanya, mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar di laman web www.safecommunity.org.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: