Skim kawalan harga: 8,305 premis diperiksa

Rosol (dua dari kanan) selepas Program Lawatan Kerja dan Tinjauan Pematuhan SHMMP Deepavali 2020 di Pasaraya Mydin Gong Badak, di sini hari ini.
Rosol (dua dari kanan) selepas Program Lawatan Kerja dan Tinjauan Pematuhan SHMMP Deepavali 2020 di Pasaraya Mydin Gong Badak, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 8,305 premis di seluruh negara telah diperiksa dalam tempoh lima hari pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula 9 November lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, 276 melibatkan premis borong dan 8,029 premis runcit.

"Dalam tempoh itu, 26 peniaga telah didenda kerana tidak mematuhi peraturan yang ada di bawah skim berkenaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes membabitkan kesalahan tidak memaparkan tanda harga manakala dua lagi kes kerana menjual barangan melebihi harga kawalan ditetapkan dengan nilai rampasan dan kompaun bernilai RM5,847," katanya selepas Program Lawatan Kerja dan Tinjauan Pematuhan SHMMP Deepavali 2020 di Pasaraya Mydin Gong Badak di sini hari ini.

Jelasnya, sepanjang pematuhan yang bermula 9 hingga 17 November ini, sebanyak 20 jenis barangan keperluan disenaraikan sebagai barang kawalan sempena Deepavali.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Peniaga perlu mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna perlu mengetahui tanggungjawab serta menggunakan hak mereka.

"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan: