Isu 'DG takut mati': Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini memohon maaf atas keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

King Sing yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China itu berkata, beliau tidak berniat dan terdetik untuk menafikan amalan mulia semua barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, doktor dan jururawat.

Menurutnya, bagi memastikan persidangan Dewan Rakyat lancar selain kepentingan serta keharmonian negara, beliau membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021.

"Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah).

"Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

King Sing sebelum ini membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.

Beliau berkata, adakah ketua pengarah dan timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes koronavirus (Covid-19) kerana takut mati.

Susulan kenyataan itu, beberapa ahli Parlimen terutama pembangkang menuntut permohonan maaf.

Artikel Berkaitan:

Bukan hanya pembangkang, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya turut meminta ahli Parlimen Bintulu itu untuk memohon maaf.

Menurutnya, polemik mengenai kenyataan ahli Parlimen yang dikatakan menghina penjawat awam perlu dihentikan segera dan individu terbabit perlu berjiwa besar dengan membuat permohonan maaf atas keterlanjurannya.

Beliau berpandangan perkara itu tidak wajar berlaku apabila ahli Parlimen terbabit mengeluarkan kata-kata sinis apatah lagi mencaci penjawat awam yang telah menjalankan tugas dengan sebaiknya.

Malah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyelar kenyataan itu yang disifatkan satu yang tidak wajar, mengejutkan dan memalukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat panas dengan isu 'DG takut mati'

'DG takut mati' bukan kenyataan MP Bintulu: Shahidan

Tidak timbul isu takut mati, kata Dr Noor Hisham