9,423 pekerja di Selangor diberhenti kerja

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor merekodkan seramai 9,423 pekerja di negeri ini yang diberhentikan dalam tempoh 1 Januari hingga September 2020. - Foto 123RF
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor merekodkan seramai 9,423 pekerja di negeri ini yang diberhentikan dalam tempoh 1 Januari hingga September 2020. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor merekodkan seramai 9,423 pekerja di negeri ini yang diberhentikan dalam tempoh 1 Januari hingga September 2020.

Exco Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, jumlah itu membabitkan pelbagai sektor pekerjaan.

"Antara sektor pekerjaan terjejas teruk adalah pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan perkilangan," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Selangor 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu menurutnya, kerajaan Selangor menyasarkan penurunan kadar pengangguran di negeri ini daripada 5. 3 peratus kepada 4.5 peratus pada tahun ini.

Mohd Khairuddin (kanan) bersama ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli melawat tapak Program Jom Jelajah Selangor 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.
Mohd Khairuddin (kanan) bersama ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli melawat tapak Program Jom Jelajah Selangor 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri termasuk melalui Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 bagi membantu rakyat yang masih menganggur dalam keadaan negara terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan negeri terus komited meneruskan Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

"Kita akan melaksanakan secara berperingkat di empat daerah bermula di Kuala Selangor diikuti Gombak, Petaling, Hulu Selangor dan terakhir Selangor Job Fair 2020 diadakan di Shah Alam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairuddin berkata, sebanyak 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada siri Mega Jelajah Selangor Bekerja 2020.

"Kita memperuntukkan seramai 100 pemohon di setiap daerah dengan membabitkan sebanyak 94 majikan yang mengambil bahagian," katanya.

"Sehingga kini, sebanyak 9,969 pendaftaran telah diterima sejak permohonan dibuka pada 15 September tahun ini menerusi laman sesawang www.jobsmalaysia.gov.com," katanya.