12 individu dicekup bersama ganja RM2.16 juta

Razarudin (tengah) menunjukkan dadah ganja yang dirampas dalam lapan serbuan di beberapa kawasan di negeri ini dan Kedah kelmarin.
Razarudin (tengah) menunjukkan dadah ganja yang dirampas dalam lapan serbuan di beberapa kawasan di negeri ini dan Kedah kelmarin.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan 12 ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang wanita warga Laos dan merampas 872 ketulan mampat ganja bernilai RM2.16 juta dalam lapan serbuan di beberapa kawasan di negeri ini dan Kedah kelmarin.

Sindiket yang didalangi lelaki tempatan berusia 56 tahun itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan rampasan berkenaan merupakan yang terbesar dilakukan ke atas sindiket tersebut.

Suspek dipercayai beberapa kali membawa masuk dadah menggunakan jalan laut dari negara jiran berikutan penutupan sempadan negara kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 22 tahun hingga 58 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 12.15 tengah malam hingga 6 pagi, 13 November lalu.

Menurutnya, tangkapan bermula selepas penahanan dua lelaki berusia 22 dan 43 tahun yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi di Sungai Nibong, di sini.

"Pemeriksaan ke atas kereta tersebut menjumpai 250 ketulan ganja. Mereka dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pembeli. Susulan daripada tangkapan itu, kita menahan seorang lelaki 42 tahun di kawasan sama.

"Selepas itu, kita menyerbu sebuah bengkel membaiki bot di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan dan menemui 622 ketulan mampat dipercayai ganja di dalam sebuah bot fiber," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini tadi.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menyita enam buah kenderaan dari sindiket tersebut.
Polis turut menyita enam buah kenderaan dari sindiket tersebut.

Beliau berkata, polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang merupakan penjaga bengkel dan bekalan dadah tersebut.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga lelaki Bangladesh tersebut sedang tidur. Susulan daripada itu, kita menyerbu sebuah premis di Jitra, Kedah dan menahan seorang lelaki dipercayai dalang sindiket tersebut.

"Serbuan seterusnya di Bedong, Kedah dan menahan seorang suri rumah warga Laos berusia lingkungan 40-an. Dia dipercayai berperanan sebagai perantara kerana semua dadah seberat 865.7 kilogram itu dibawa masuk dari Laos melalui Thailand ke negara ini menerusi laluan laut," katanya.

Razarudin berkata, susulan daripada penangkapan dalang tersebut, polis menahan empat nelayan di negeri ini dipercayai turut terlibat dengan sindiket berkenaan.

"Mereka berperanan membantu membawa masuk dadah melalui jalan laut ketika menangkap ikan di perairan termasuk sempadan negara. Tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis THC, Methamphetamine dan Eramin 5. Mereka akan direman tujuh hari sehingga 20 November ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2.9 juta penagih," katanya.

Katanya, polis turut menyita enam buah kenderaan iaitu Isuzu Dmax; Perodua Myvi; Honda City; Toyota Camry, Proton Waja dan BMW dengan nilai keseluruhan RM210,000.

"Selain kenderaan, polis juga menyita sebuah bot fiber berkuasa 175 kuasa kuda bernilai RM10,000 dan wang tunai RM752. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.44 juta," katanya.