Enrique tetap pertahankan Sergio Ramos

Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer merebahkan badan menyelamatkan sepakan penalti Ramos pada perlawanan berkenaan. Foto: AFP
Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer merebahkan badan menyelamatkan sepakan penalti Ramos pada perlawanan berkenaan. Foto: AFP
A
A
A

KETUA jurulatih Sepanyol Luis Enrique tetap mempertahankan aksi dipamerkan Sergio Ramos biarpun kapten skuad La Roja itu gagal menyempurnakan dua sepakan penalti ketika berdepan Switzerland dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA (Nations Cup) di Stadium St Jakob-Park kelmarin.

Enrique berkata, kegagalan Ramos menjaringkan gol menerusi sepakan penalti itu tidak menggugat statusnya selaku pemain yang bertanggungjawab mengambil sepakan penalti buat skuad La Roja itu.

Malah menurutnya jika Sepanyol mendapat sepakan penalti ketiga, tanggungjawab berkenaan (mengambil sepakan penalti) akan tetap diberikan kepada bintang Real Madrid itu.

“Rekod Ramos dalam sepakan penalti adalah yang terbaik. Oleh itu, tidak adil untuk menghukumnya hanya kerana dia gagal menyempurnakan satu, dua atau tiga sepakan penalti.

“Seperti yang saya katakana, jika ada satu lagi penalti pada perlawanan dengan Switzerland, pasti saya akan memberikan tanggungjawab itu kepadanya.

“Untuk tidak membenarkannya mengambil sepakan penalti setelah dua kali gagal dalam perlawanan itu adalah satu jenaka kerana dia berada dalam senarai teratas bagi pemain yang akan diberikan tanggungjawab berkenaan (sepakan penalti),” katanya.

Pada perlawanan berkenaan pemain Switzerland, Remo Freuler membuka jaringan pada minit ke-26.

Bagaimanapun dua sepakan penalti yang diambil oleh Ramoas pada babak kedua dilihat gagal menghasilkan jaringan apabila sepakan penalti pertamanya diselamatkan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer sebelum sepakan penalti keduanya yang menggunakan kaedah panenka turut gagal menewaskan Sommer.

Artikel Berkaitan:

Mujurlah, Gerard Moreno berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat perlawanan.

Sepanyol kini berada pada kedudukan kedua dengan lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan tewas sekali daripada lima perlawanan manakala Switzerland kini dengan tiga mata hasil tiga seri dan tewas dua kali daripada lima perlawanan.

Sementara itu Moreno berkata, biarpun Ramos gagal menyempurnakan kedua-dua sepakan penalti berkenaan namun baginya Ramos sememangnya seorang pemain yang dilahirkan sebagai pemenang.

Malah katanya, penampilan Ramos pada aksi berdepan Switzerland itu juga telah mencatatkan rekod penampilan ke-177 pemain berkenaan bersama skuad La Roja di pentas antarabangsa.

“Hari ini dia gagal menjaringkan gol daripada dua penalti. Tetapi perlu diingat, dia telah beraksi dalam banyak perlawanan dan telah mengalami banyak kekalahan dan kejayaan.

“Dia sememangnya seorang pemain yang berpengalaman,” katanya.