Konstabel polis maut kereta terbabas

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kemalangan itu. Gambar kecil:Wan Abdul Halim
Foto: Ihsan FB Polis Pahang
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kemalangan itu. Gambar kecil:Wan Abdul Halim Foto: Ihsan FB Polis Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat konstabel maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tembok penghadang jalan di atas jambatan Jalan Kuantan-Sungai Lembing pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.29 pagi itu, mangsa Wan Abdul Halim Wan Basuki, 24, yang bertugas di Lokap Berpusat Indera Mahkota disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Sungai Lembing berhampiran Kolej Polytechnic Mara menghala ke Jalan Kuantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke tembok penghadang jalan sebelah kiri di atas jambatan di laluan terbabit.

"Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan pada bahagian kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa di bawah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat selepas ujian saringan koronavirus (Covid-19) dilakukan.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, saksi di lokasi kejadian mendakwa mangsa telah memotong kenderaan yang dipandunya sebelum terbabas di selekoh dan melanggar tembok di atas jambatan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: