Wilayah Bebas Berniaga: MPP, DBKL selaras peniaga

Annuar (dua dari kanan) melawat salah sebuah gerai yang menerima tawaran lesen oleh DBKL.
Annuar (dua dari kanan) melawat salah sebuah gerai yang menerima tawaran lesen oleh DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga yang mengikuti program Wilayah Bebas Berniaga diminta bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan masing-masing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, MPP telah diberi kuasa untuk membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyelaras setiap peniaga yang mengikuti inisiatif tersebut.

Menurutnya, walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan memberi kelonggaran kepada penjaja untuk meniaga khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, namun aspek kawalan masih perlu dikuatkuasakan oleh DBKL.

"MPP akan membantu menyusun peniaga di kawasan masing-masing dan perlu membantu DBKL dalam melaksanakan inisiatif ini.

"Kalau DBKL hendak buat semua perkara, kita tidak cukup kakitangan dan disebabkan itulah saya memberi kuasa kepada MPP untuk menyusun peniaga-peniaga ini," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Lesen Kepada Penjaja di Jalan 2/76D, Desa Pandan hari ini.

Sebelum ini, Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula hari ini hingga 15 April 2021 bagi membantu meringankan bebanan penduduk khususnya susulan pelaksanaan PKPB.

Dalam tempoh itu, peniaga perlu memohon Lesen Perniagaan Sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sekiranya peniaga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan DBKL, tindakan penutupan akan turut dikuatkuasakan selepas ini.

"Jangan ingat perkara ini tiada kawalan, malah ia akan diperketatkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira kerana sambutan sangat menggalakkan, malah kita dimaklumkan peniaga luar Wilayah Persekutuan terutama di negeri berdekatan sudah mula masuk ke sini untuk meniaga.

"Kita tidak berhasrat untuk terlalu tegas asalkan mereka bekerjasama dengan MPP di setiap kawasan," katanya.

Katanya, peniaga juga turut dinasihatkan agar menitikberatkan tentang pematuhan SOP dalam usaha menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Wilayah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wilayah Bebas Berniaga

YaPEIM saran Wilayah Bebas Niaga diperluas ke seluruh negara