Sasar guna 190 liter air sehari

Penduduk Lembah Klang kerap berdepan gangguan air berikutan pencemaran di loji-loji rawatan air.
Penduduk Lembah Klang kerap berdepan gangguan air berikutan pencemaran di loji-loji rawatan air.
A
A
A

[WAWANCARA] Penduduk Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air berskala mega susulan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3 terpaksa dihenti tugas Selasa lalu berikutan pencemaran sumber air mentah.

Penutupan terbaharu empat loji kendalian syarikat Air Selangor Sdn Bhd itu adalah kali ketujuh tahun ini melibatkan lebih 1.1 juta akaun pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman mendedahkan masalah itu berlaku kerana sikap segelintir pihak industri dan domestik yang menjadikan sungai sebagai ‘kawasan pelupusan sisa terbuka’.

“Ada yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa berjadual di kawasan berhampiran sungai, saluran longkang dan saliran kecil yang akhirnya akan mengalir ke sungai utama dan mencemar sumber air,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini.

Dalam wawancara yang dikendalikan Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Ahad, Junhairi Alyasa, Ahmad Faizal telah menggariskan empat langkah penting bagi mengatasi masalah bekalan air khususnya di Selangor.

SINAR AHAD: Bagaimanakah Datuk melihat industri perkhidmatan air serta pembetungan pada masa lalu?

AHMAD FAIZAL: Sebelum adanya SPAN, perkhidmatan bekalan air adalah di bawah bidang urus tadbir kerajaan negeri masing-masing, maka tiada standard tertentu yang boleh disandarkan atau dijadikan rujukan. Begitu juga halnya dengan tarif air, ia tidak dapat diselaraskan di peringkat persekutuan.

Hal yang sama membabitkan perkhidmatan pembetungan, tiada data khusus yang dapat dikumpulkan dan dibuat penilaian untuk penambahbaikan kerana ia tidak berada di bawah pengurusan pusat. Kewujudan SPAN telah mewujudkan suatu standard yang lebih teratur perihal pengurusan bekalan air dan pembetungan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel Berkaitan:

Apakah isu-isu penting yang masih membelenggu negara ini?

Antara isu utama yang amat ingin ditangani oleh kesemua pemain industri perkhidmatan bekalan air adalah air tidak terhasil atau NRW, rizab simpanan air dan tarif air. NRW paling ketara adalah NRW fizikal yang merujuk situasi kebocoran air disebabkan paip-paip uzur sebelum bekalan sampai kepada meter pengguna.

Untuk rekod, purata NRW tahun 2019 adalah 33.2 peratus. Jumlah tersebut adalah tinggi dan melibatkan kerugian bernilai puluhan jutaan ringgit kepada pihak operator saban tahun. Namun untuk menukar paip usang kepada paip baharu juga menelan belanja yang besar.

Operator juga berhadapan cabaran menguruskan ketirisan akibat NRW komersial iaitu kes-kes kecurian air terawat yang turut menyebabkan kerugian kepada operator.

Cabaran seterusnya adalah meningkatkan rizab simpanan air yang pada waktu ini masih diusahakan secara serius oleh kesemua operator bekalan air.

Ahmad Faizal dilantik menjadi Pegawai Memerintah bagi pasukan 60 Regimen Pakar Air RAJD (AW) pada 3 September lalu.
Ahmad Faizal dilantik menjadi Pegawai Memerintah bagi pasukan 60 Regimen Pakar Air RAJD (AW) pada 3 September lalu.

Ada yang telah mencapai saranan SPAN iaitu antara 10 peratus hingga 15 peratus dan ada yang masih di bawah 5 peratus. Jumlah rizab yang kurang akan menyukarkan operator untuk memastikan kelangsungan bekalan jika berlaku sebarang gangguan terhadap perkhidmatan.

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh pembekal perkhidmatan pembetungan adalah kadar tarif yang masih rendah berbanding kos. Kadar tarif yang rendah menyebabkan pelbagai pelan penambahbaikan terhadap perkhidmatan tergendala disebabkan kekangan dana.

Cabaran di pihak pembekal perkhidmatan IWK antaranya melibatkan pencemaran ke atas lurang kumbahan awam mereka yang seringkali dicerobohi oleh sisa berjadual termasuk gris daripada bahan buangan restoran yang dibiar masuk ke saluran pembetungan awam.

Hal ini menyebabkan loji rawatan kumbahan tidak dapat beroperasi dengan baik dan kadangkala perlu dihenti tugas.

Selangor ialah negeri termaju dan antara terkaya di Malaysia, namun bekalan airnya paling kerap terputus. Apakah komen Datuk?

Menyentuh berkenaan gangguan bekalan air, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu gangguan berjadual dan tidak berjadual. Gangguan yang sering menimbulkan masalah adalah gangguan tidak berjadual seperti kes-kes pencemaran ke atas sumber air mentah.

Selangor merupakan negeri dengan jumlah akaun pengguna terbesar kerana perkhidmatan oleh Pengurusan Air Selangor merangkumi pengguna di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Disumbang pula oleh kepesatan pembangunan di ketiga-tiga negeri dan wilayah tersebut, maka sebarang situasi pencemaran akan memberi impak besar kepada bekalan air.

Untuk makluman, bekalan air di Lembah Klang bergantung kepada dua sungai utama iaitu lembangan Sungai Selangor dan lembangan Sungai Langat. Jika sungai-sungai ini dicemari, maka sejumlah 2.4 juta akaun pengguna bakal terjejas.

Dari aspek kualiti perkhidmatan, saya jangka operator air di negeri ini telah mempertingkatkan tahap mereka dengan pelbagai penambahbaikan dari aspek liputan perkhidmatan, saluran komunikasi serta penggunaan kaedah moden dalam memantau loji-loji mereka namun yang menjadi masalah adalah sikap segelintir pihak industri dan domestik yang menjadikan sungai sebagai ‘kawasan pelupusan sisa terbuka’.

Ada yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa berjadual di kawasan berhampiran sungai, saluran longkang dan saliran kecil yang akhirnya akan mengalir ke sungai utama dan mencemar sumber air. SPAN mahupun pihak operator bekalan tidak akan berkompromi terhadap kualiti air yang sewajarnya diterima pengguna, maka henti tugas loji terpaksa dilakukan apabila wujudnya situasi pencemaran. Begitu juga dengan kerja-kerja pembinaan yang dilakukan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu yang kadangkala menyebabkan paip utama pecah apabila jentera mereka mengorek di kawasan paip ditanam.

Penduduk Lembah Klang kerap berdepan gangguan air berikutan pencemaran di loji-loji rawatan air.
Penduduk Lembah Klang kerap berdepan gangguan air berikutan pencemaran di loji-loji rawatan air.

Pada pandangan Datuk apakah langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah air terutama di Selangor ?

Terdapat empat langkah yang boleh diambil iaitu meningkatkan rizab simpanan air kepada minimum 15 peratus sebagaimana disarankan SPAN, mewujudkan kolam takungan air seperti projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di lebih banyak tempat di negeri Selangor dan kawasan yang strategik, mengurangkan kadar NRW secara berperingkat, mengadakan kempen untuk mengajak pengguna mengurangkan penggunaan air per kapita setiap hari daripada purata 239 liter pada 2019 kepada 190 liter menjelang 2023 dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan gaya hidup lestari termasuk melibatkan diri dalam inisiatif Denai Sungai Kebangsaan yang dipromosikan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Ada cadangan supaya kerajaan negeri melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan. Apakah ini membantu?

Penggunaan air hujan mungkin sesuai untuk kegunaan sampingan seperti mencuci kenderaan, menyiram pokok dan mencuci pakaian namun ia tidak sesuai untuk kegunaan memasak atau untuk diminum secara terus. Kerajaan negeri masih perlu mempertimbangkan pembinaan projek takungan air yang berskala besar dan bersambung terus dengan loji bagi menampung keperluan sedia ada dan akan datang jika gangguan bekalan berlaku.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ada mencadangkan supaya hukuman kepada pencemar air ditingkatkan kepada denda sebanyak RM10 juta. Apa pandangan Datuk?

Saya menyokong penuh jumlah denda yang lebih tinggi serta hukuman penjara maksimum dinaikkan bagi pesalah alam sekitar yang mencemarkan air. Menteri sendiri telah menyatakan bahawa cadangan KASA mengenai jumlah denda berkaitan kesalahan mencemar air di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655) 2006 wajar dinaikkan sehingga maksimum RM10 juta dan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Menaikkan jumlah hukuman memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tindakan individu secara psikologi. Sebagai contoh, kegagalan memakai pelitup muka di tempat awam boleh menyebabkan seseorang didenda sehingga RM1,000 dan ini sangat diambil berat oleh setiap orang. Begitu juga denda melakukan kesalahan jalan raya. Kita akan seboleh mungkin mengelak daripada disaman. Kedua-duanya wajar dijalankan serentak iaitu menambah baik akta termasuk mengetatkan lagi hukuman serta menjalankan projek-projek mitigasi bertujuan mengurangkan impak gangguan jika berlaku pencemaran sumber air.

Permintaan bekalan air bersih selari dengan pertambahan penduduk, perbandaran dan pertumbuhan sektor ekonomi. Bagaimana Datuk melihat perbezaan permintaan bekalan air pada tahun 2020 berbanding 10 atau 15 tahun lalu ?

Permintaan terhadap bekalan air sentiasa akan meningkat serentak dengan perubahan masa kerana ia adalah keperluan asas dalam kehidupan. Selangor sebagai contoh mempunyai sejumlah 2.06 juta akaun pengguna domestik dan industri pada tahun 2015 dan jumlah tersebut meningkat kepada 2.4 juta dalam tempoh lima tahun.

Secara keseluruhan, jumlah akaun pengguna perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2015 adalah 6.7 juta dan meningkat kepada hampir 7.5 juta akaun pada tahun 2019. Peningkatan ini telah dijangka dan kesemua pihak yang terlibat perlu bersedia untuk memastikan kelestarian pembekalan air bersih untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimana Datuk melihat perkhidmatan air di negara ini pada masa depan ?

Dengan segala perancangan yang disusun oleh KASA dan SPAN serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pelbagai agensi termasuk oleh rakan operator dan kerajaan negeri, saya menjangkakan masa hadapan yang lebih cerah buat perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di negara ini. Pelbagai pelan mitigasi telah dirancang bagi mengurangkan gangguan serta menambah baik kualiti perkhidmatan.

Majlis Pemakaian Pangkat yang berlangsung pada 19 Oktober 2020 yang lalu.
Majlis Pemakaian Pangkat yang berlangsung pada 19 Oktober 2020 yang lalu.


ANEKDOT


Penduduk guna 239 liter air sehari

Berdasarkan data SPAN, penggunaan air di Lembah Klang pada tahun 2019 adalah purata 239 liter setiap hari untuk setiap individu. Jumlah ini masih tinggi berbanding sasaran KASA iaitu purata 205 liter untuk tahun 2020.

Penggunaan yang tinggi mungkin berpunca daripada tarif air yang masih rendah dan tabiat pengguna yang telah terbiasa menggunakan air dalam segala macam aktiviti. Jumlah penggunaan yang tinggi sudah tentu memerlukan pihak operator menambah jumlah pengeluaran yang kadangkala melebihi kapasiti keupayaan loji dan ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan operator untuk mempertingkatkan jumlah rizab air terawat mereka.

Jumlah pengeluaran air terawat setiap hari di Lembah Klang pada 2019 adalah sekitar 4,932 juta liter berbanding kapasiti rekaan loji iaitu 4,706 juta liter air sehari.

Siswazah kewangan terlibat hal air

Saya ialah pemegang ijazah perakaunan dan pengurusan kewangan yang terlibat dalam bidang pengurusan bekalan air. Segalanya bermula ketika saya bertugas di Prokhas di mana saya sebahagian ahli pasukan yang terlibat dalam kajian penubuhan dan penstrukturan Perbadanan Aset Air Berhad atau PAAB.

Bermula daripada hanya penglibatan membabitkan urusan kewangan di PAAB bagi pihak Prokhas, saya kemudiannya menyertai organisasi tersebut pada Mac 2009 sebelum dilantik menjadi CEO syarikat pada bulan Julai tahun yang sama. Dari situ saya mula mempelajari dan memahami keperluan industri dan kerjaya saya dalam pengurusan bekalan air berlanjutan sehingga kini.

Terkejut dilantik Pegawai Memerintah

DILANTIK menjadi Pegawai Memerintah bagi pasukan 60 Regimen Pakar Air RAJD (AW) pada 3 September 2020 adalah antara kejutan buat saya kerana saya tidak pernah terfikir akan menyarung uniform tentera apatah lagi menjadi salah seorang sukarelawan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara. Ia suatu penghormatan dan pada waktu sama pencapaian buat saya.


PROFIL


Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman

Jawatan sekarang: CEO Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara

Umur: 51 tahun

Asal: Kelantan

Pendidikan: Sarjana Muda Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan (Universiti Essex, UK); Pengurusan Lanjutan (Said Business School, Universiti Oxford, UK)

Pengalaman:

Naib Presiden/Ketua Bahagian Perbankan Korporat di Aseambankers Malaysia Berhad

Pengurus Besar Prokhas Sdn Bhd

CEO Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

CEO Syarikat Air Johor Ranhill (SAJR)