'Captain Chloroquine' mahu cuba nasib kali kesembilan

Sequeira mengedarkan sendiri risalah kempen yang berjanji akan memerangi rasuah dan Covid-19. - Foto: Agensi
Sequeira mengedarkan sendiri risalah kempen yang berjanji akan memerangi rasuah dan Covid-19. - Foto: Agensi
A
A
A

BRASILIA - Kekalahan sebanyak lapan kali dalam pilihan raya sebelum ini tidak mematahkan semangat seorang wanita untuk bertanding kerusi majlis perbandaran di Brazil yang berlangsung esok.

Regina Bento Sequeira kembali semula sebagai adiwira dengan menggelarkan dirinya sebagai 'Captain Chloroquine' sebagai tanda menyokong idola politiknya, Presiden Jair Bolsonaro yang menyokong penggunaan ubat antimalaria, chloroquine sebagai ubat merawat koronavirus (Covid-19) walaupun ia terbukti tidak berkesan oleh kebanyakan kajian.

Menurutnya, dia bertanding dengan nama samaran kontroversi seperti itu ia adalah satu-satunya cara buat calon sepertinya untuk memancing undi.

Wanita itu turut memandu kereta berwarna kuning metalik tertera nama 'Captain Chloroquine' di sekitar Rio de Janeiro untuk mengedarkan risalah dirinya yang mengenakan pakaian seperti adiwira Captain Marvel.

"Ini adalah cara mudah untuk dikenali ramai kerana saya tidak bekerja dalam bidang politik dan tidak mempunyai wang," kata Sequeira, 59, yang berjanji akan memerangi Covid-19 dan rasuah jika pengundi memilihnya.

Dia yang mempunyai kerjaya sebagai peguam juga percaya peluangnya tipis untuk menang dalam pilihan raya tempatan tersebut.

"Individu yang sama akan menang," ujarnya ketika disoal tentang siapa yang bakal memenangi pemilihan itu.

Difahamkan, Sequeira pertama kali bertanding pada 2004 dan pernah menggunakan beberapa nama samaran termasuk PokeZefa ketika permainan Pokemon Go menjadi kegilaan ramai pada 2016.

Artikel Berkaitan:

Hari mengundi pusingan pertama pada esok juga akan menampilkan Superman, Batman, Wonder Woman, Trump dan Obama dalam kalangan 576,000 calon yang bertanding untuk 64,000 jawatan di lebih 5,000 bandar di seluruh negara.

Kebanyakan calon menggunakan nama samaran berharap dapat mengulangi kejayaan Tiririca, badut yang dilantik menyertai Kongres pada 2010 malah pernah dipilih sebanyak dua kali. - AFP