UNSC perlu jujur tangani konflik Israel-Palestin: Muhyiddin

Muhyiddin berucap pada sesi malam hari keenam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan secara maya hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin berucap pada sesi malam hari keenam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan secara maya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu jujur memainkan peranannya sebagai orang tengah ​​kepada pihak terbabit dalam kancah konflik Israel-Palestin bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berterusan di rantau itu, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-15 hari ini yang menyeru masyarakat antarabangsa terutama PBB memikul tanggungjawab penuh berdasarkan piagamnya dalam menyelesaikan konflik.

“Malaysia teguh menentang penindasan terhadap rakyat Palestin dan kekal mendukung perjuangan rakyatnya.

"Sokongan dan pendirian kami tidak berubah. Satu-satunya jalan keluar kepada konflik Israel-Palestin adalah melalui penyelesaian dua negara," katanya pada sidang kemuncak itu yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dwitahunan itu yang berlangsung sehingga Ahad ini.

Diadakan secara maya ekoran Covid-19, sidang kemuncak itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN.

EAS terdiri 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat. - Bernama

Artikel Berkaitan: