Cabaran 100 hari Presiden Joe Biden

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

JOSEPH Robinette Biden Jr atau lebih dikenali sebagai Joe Biden daripada parti Demokrat telah memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), menewaskan penyandangnya, Donald Trump daripada parti Republikan.

Biden berjaya memperoleh 290 undian elektoral berbanding Trump hanya 219 undian elektoral. Kamala Harris pula dipilih Naib Presiden AS.

Walaupun selepas seminggu keputusan diketahui, Trump enggan akur kepada keputusan tersebut malah mendakwa kononnya berlaku penipuan besar-besaran seperti penambahan peti undi tidak rasmi dan terdapat pengundi hantu di beberapa tempat seperti Georgia, Detroit serta Philadelphia.

Oleh itu, cabaran bagi Biden dan Kamala adalah soal legitimasi kemenangan mereka. Sistem perundangan di AS telah mensyaratkan keputusan pilihan raya perlu disahkan oleh semua elektoral, gabenor dan akhir sekali Kongres sebelum seorang Presiden dilantik mengangkat sumpah. Sehingga proses itu selesai, Trump masih boleh mencabar.

Cabaran kedua adalah isu penyatuan semula warga AS yang telah berpecah-belah kepada beberapa kumpulan, antaranya penyokong Republikan dan Demokrat. Selain itu, terdapat juga mereka yang memperjuangkan hak bagi penduduk AS berkulit hitam seperti gerakan Black Lives Matters (BLM) dan kumpulan berhaluan kanan, misalnya Patriot yang memperjuangkan ketuanan masyarakat berkulit putih.

Biden dan Kamala perlu meyakinkan penyokong Republikan untuk menerima mereka sebagai Presiden. Jumlah itu adalah besar iaitu kira-kira 72, 444, 918 pengundi atau 47. 4 peratus daripada jumlah pengundi yang telah menolak Biden dan memilih mengundi Trump sebagai Presiden.

Covid-19

Cabaran seterusnya adalah penularan koronavirus (Covid-19). Kempen parti Demokrat sering menuduh Trump gagal membendung Covid-19. Biden berjanji akan mengambil langkah lebih berkesan. Beliau telah menubuhkan Covid-19 Advisory Board bagi memantau serta menasihati pentadbirannya berhubung cara yang berkesan bagi menyekat penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Namun, dilaporkan ia tidak mendapat kerjasama pegawai-pegawai tinggi di agensi kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh pentadbiran Trump. Mereka enggan menyalurkan informasi penting berhubung kea-daan Covid-19 di AS.

Pentadbiran Biden juga berhadapan cabaran pada peringkat antarabangsa, khasnya hubungan dengan China. Semasa pentadbiran Trump, hubungan AS dan China telah merosot akibat perang perdagangan serta retorik anti-China. Hubungan Washington-Beijing dijangka pulih di bawah pentadbiran Biden tetapi masalah seperti persaingan perdagangan dan teknologi, Laut China Selatan serta isu hak asasi di Xinjiang dan Hong Kong akan terus kekal.

Pentadbiran Biden dijangka mengeluarkan kenyatan rasmi berhubung hubungan luar AS dalam masa terdekat. Yang pasti, Biden terpaksa memikul beban yang ditinggalkan oleh pentadbiran Trump. Biden walaupun kelihatan tidak agresif tetapi ramai tidak mengetahui beliau mempunyai sifat yang sangat tabah dan mampu menahan pelbagai cabaran.

Ketika baru dilantik menjadi Senator di Delaware pada tahun 1972, beliau kehilangan isteri pertama, Neillia dan anak perempuan, Noami akibat kemalangan jalan raya.

Beliau pernah bercadang meninggalkan kerjaya politik untuk menjaga anak-anaknya tetapi akhirnya tidak berbuat demikian. Tamparan kedua dalam kehidupan Biden berlaku apabila anak sulungnya, Beau Biden meninggal dunia akibat barah pada 2015.

Namun, itu tidak menghalang Biden meneruskan perjuangan. Cabaran sebagai Presiden AS ke-46 sememangnya besar tetapi berdasarkan sifat peribadinya, Biden akan mampu menghadapinya.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya