Isu moral dalam bahas KWSP

No Image Caption
A
A
A

KRISIS ekonomi global yang dicetuskan oleh pandemik koronavirus (Covid-19) mendedahkan betapa lemahnya sistem keselamatan sosial kita.

Malah, jika dibandingkan dengan negara-negara maju, sistem jaminan sosial kita terlalu lemah untuk diiktiraf sebagai sistem sejagat kerana masih ramai pekerja dan tanggungan mereka tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan.

Mereka masih dalam kategori ekonomi cukup makan iaitu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.Ia juga mengukuhkan penemuan kajian sosioekonomi yang mendakwa bahawa kadar kemiskinan kita semakin meningkat dan jurang pendapatan antara golongan berada dengan miskin semakin luas.

Hal itu terserlah dalam perbahasan mengenai pengeluaran caruman daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu ahli yang hilang mata pencarian akibat Covid-19.

Walaupun bilangan pekerja sektor swasta dan pekerja sendiri yang mencarum KWSP boleh dikatakan tinggi, jumlah simpanan mereka tidak cukup besar untuk menjamin kehidu-pan selesa dalam persaraan.

Pada September lalu, dilaporkan terdapat 14.6 juta ahli KWSP. Daripada jumlah tersebut, seramai 7,626,262 adalah pencarum aktif manakala selebihnya tidak lagi mencarum.

Jika dihalusi lagi, kita akan mendapati sebahagian besar mereka mempunyai jumlah simpanan yang terlalu kecil untuk memberi kesan bermakna apabila mencapai usia persaraan 55 tahun.

Misalnya, 54 peratus atau seramai 7.88 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 ketika mencapai umur persaraan.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu amat kecil kerana seorang pesara dianggar memerlukan RM240,000 untuk menyara kehidupan selama 20 tahun selepas bersara, melainkan mereka mempunyai sumber pendapatan lain.

Simpanan

Pada tahun 2017, dalam percubaan memperbaiki jaminan mutu kehidupan pesara, KWSP telah menaikkan sasaran simpanan daripada RM197,000 kepada RM228,000. Ketika itu hanya 18 peratus ahli mencapai tahap simpanan tersebut.

Maksudnya, dalam keadaan biasa pun sistem pencen yang ditaja kerajaan melalui KWSP belum berjaya mencapai matlamat minimum, apatah lagi dalam keadaan luar biasa seperti sekarang.

Kita kena faham bahawa bukan tanggungjawab KWSP menjadi penyelamat apabila pekerja hilang mata pencarian atas apa-apa sebab sekalipun. Tugas itu dipikul secara terhad oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tugas KWSP bagi membolehkan pekerja swasta dan majikan mereka serta pekerja sendiri mencarum secara tetap, selamat serta menguntungkan.

Justeru, pengurusan KWSP amat berhati-hati terhadap cadangan membenarkan ahli mengeluarkan simpanan akaun satu ketika krisis Covid-19. Selain itu, mereka juga perlu menjamin kecukupan tabu-ngan untuk dilaburkan.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa KWSP adalah tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terbesar di Malaysia.

Setakat 31 Mac 2018, aset yang diuruskan KWSP berjumlah RM814 bilion, menjadikannya tabung pencen keempat terbesar di Asia dan ketujuh di dunia. Ia bukan pencapaian yang alang-kepalang.

Di pihak kerajaan pula, kita perlu tahu bahawa ia amat bergantung kepada KWSP sebagai sumber hutang. Kerajaan berhutang berbilion ringgit daripada KWSP melalui penjualan surat jaminan kerajaan.

Persoalan moral yang harus kita tanya dan jawab adalah mana yang lebih penting, simpanan untuk keselesaan masa depan atau menyelamatkan pencarum yang menderita sekarang?

Apakah tanggungjawab kerajaan sekadar membenarkan rakyat jelata mengeluarkan simpanan mereka sendiri dan menangguhkan pembayaran balik hutang bank atau kerajaan sepatutnya membantu rakyat jelata yang menderita akibat kemelesetan ekonomi dengan memberi peruntukan kewangan yang lebih bermakna? Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara