Unjuran KDNK naik 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2021

Tengku Zafrul pada sidang media mengenai Belanjawan 2021 di Wisma Bernama hari ini.
 - Foto Bernama
Tengku Zafrul pada sidang media mengenai Belanjawan 2021 di Wisma Bernama hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik kepada 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021 oleh kerajaan adalah anggapan yang dibuat berdasarkan jangkaan pembangunan ekonomi pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, anggapan pertama ialah melihat kepada bila vaksin untuk Covid-19 boleh didapati.

“Kami berpendapat pengkomersialan vaksin akan lebih cepat. Insya-ALLAH dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.

“Ekonomi global akan lebih baik dan Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka akan mendapat kesan positif berikutan ekonomi dunia berkembang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia menyaksikan ekonomi yang bertambah baik berikutan permintaan luaran pada suku ketiga tahun ini dan dijangka berterusan hingga tahun depan.

Menurutnya, beliau optimis mengenai pertumbuhan ekonomi pada suku keempat yang akan bertambah baik berbanding suku kedua dan suku ketiga tahun ini.

Katanya, ini berdasarkan perkembangan yang lebih baik dalam aktiviti eksport dan sektor pembuatan.

Mengenai bantuan kepada golongan M40 dalam Belanjawan 2021, beliau berkata, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menaikkan Elaun Mencari Pekerjaan kepada sembilan bulan daripada enam bulan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha melatih semula dan meningkatkan kemahiran turut diberikan peruntukan kira-kira RM1 bilion untuk kumpulan M40 iaitu pekerjaan dijamin selepas latihan semula selesai.

“Kerajaan turut mengumumkan pengecualian cukai yang dinaikkan kepada RM20,000 dan pengeluaran sebanyak RM500 daripada akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Lestari selama 12 bulan.

“Kumpulan M40 juga boleh memohon lanjutan moratorium pinjaman dengan proses yang lebih mudah apabila mereka hanya perlu membuat pengisytiharan diri tanpa perlu mengemukakan bukti bahawa mereka telah kehilangan pekerjaan atau gaji mereka terjejas.

“Setakat ini, kira-kira 98 peratus permohonan daripada kumpulan M40 telah diluluskan,” katanya.

Bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, katanya, manfaat untuk kumpulan M40 termasuklah penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak satu peratus bagi mereka yang berpendapatan RM50,001 hingga RM70,000 dan pengurangan caruman KWSP daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Katanya, ini melibatkan RM9.3 bilion yang akan memberi kecairan tunai kepada ekonomi negara. - Bernama