Bahana gejala tidak cukup masa

A
A
A

NAMPAKNYA, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah bermula sekali lagi dalam skala yang besar kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang. Pun begitu, institusi persekolahan telah ditutup sepenuhnya di seluruh Malaysia. Pendek kata, ramai yang mula bekerja di rumah termasuklah anak-anak yang bersekolah akan menerima pelbagai tugasan daripada guru-guru dalam pelbagai platform media.

Seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, isu menguruskan masa diri sendiri dan ahli keluarga masih tidak berkesudahan kerana bukan mudah untuk mendisiplinkan diri tanpa pengawasan dan pemantauan pihak-pihak yang berkenaan.

Namun, selagi kita gagal menguruskan masa dengan baik, selagi itulah kita akan berterusan dengan sifat kalut, mudah mengeluh, tertekan dan sentiasa tidak tenang.

Sebetulnya, dalam menguruskan masa, kita perlu pastikan masa itu cukup untuk kita dan bukannya terlebih atau terkurang masa. Bagi mereka yang terlebih masa, pelbagai perkara rutin dilakukan untuk menghabiskan masa seperti menonton cerita-cerita kegemaran, melayari internet, berulang-ulang tidur dan suka mengkritik kerana ada sahaja yang tidak kena bagi mereka.

Akhirnya, masa berlalu dengan begitu sahaja dan selepas PKPB, putaran hidup mereka adalah seperti sebelum ini yang masih tidak memenuhi dada dengan ilmu bermanfaat untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Begitu juga dengan gejala kurang masa. Impaknya cukup besar dalam kehidupan kita. Apabila kurang masa, hampir semua perkara tidak dapat dilakukan atas alasan tiada masa. Apa yang jelas, hendak solat berjemaah tidak sempat, memantau pembelajaran anak-anak juga tidak sempat dan untuk bertanya khabar pun tidak berkesempatan. Hatta, untuk menuntut ilmu, baca al-quran, bangun solat pada waktu malam, bersedekah dan berdoa panjang-panjang lagilah tidak sempat.

Apabila ditanya kepada mereka, apa yang menyebabkan mereka tidak cukup masa? Jawapan yang cukup mudah: “Tak tahulah saya tapi beginilah hidup saya seharian, asyik sibuk aje.”

Sesungguhnya, ramai manusia yang kecundang kerana gagal memberkati masa. Berkaitan hal itu, ALLAH telah berfirman: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr, 103:1-3).

Artikel Berkaitan:

Malah, Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya sempit. Masa lapang sebelum masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Hadis Riwayat, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hakikatnya, mereka yang tidak diberkati oleh masa kerana gagal memahami tujuan hidup yang sebenar. Pendita Za’Ba di dalam bukunya, Perangai bergantung kepada diri sendiri telah menjelaskan: “Kehidupan kita dalam dunia ini adalah kehidupan beramal atau bekerja, kehidupan berjuang dan berlawan-lawan seperti dalam perlumbaan. Tiap-tiap seorang hendaklah menjalankan bahagiannya sendiri dengan tidak bergantung kepada orang yang akan menjalankannya, tidak berharap kepada orang akan menyempurnakannya. Ia sendiri mestilah berasa bertanggungjawab bagi menyempurnakan kewajipan dirinya dan tanggungan dirinya dalam perjuangan dan perlumbaan itu. Maka yang akan menang dalam perlumbaan itu hanyalah orang yang tetap, tekun dan sabar menjalankan kerja-kerja kewajipannya itu dengan bergantung kepada ikhtiar dan daya upaya dirinya sendiri, dan memohon pertolongan hanya kepada ALLAH SWT."

Ingatlah, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Al-Ra’d, 13:11). Justeru, ambillah kesempatan semasa PKPB untuk penuhkan diri dengan ilmu bermanfaat supaya bertemu jalan pulang nanti. Semoga ALLAH SWT memberkati masa kita.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis