Niger pula mahu jalin hubungan dengan Israel

Akhbar di Israel mendedahkan rundingan rahsia antara Niger dan Israel untuk menormalkan hubungan. - Agensi
Akhbar di Israel mendedahkan rundingan rahsia antara Niger dan Israel untuk menormalkan hubungan. - Agensi
A
A
A

NIAMEY - Niger mahu mengikut jejak langkah kontroversi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan selepas negara Afrika Barat itu dilaporkan mengadakan rundingan secara rahsia untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Rancangan itu didedahkan oleh akhbar harian berbahasa Hebrew, Yedioth Ahronoth semalam berikutan spekulasi semakin meningkat tentang Niamey yang mempunyai populasi Islam terbesar di rantau itu yang mahu menjadi negara seterusnya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

Menurut laporan akhbar itu, perjanjian damai tersebut akan ditandatangani jika Presiden Parti Nigeria untuk Demokrasi dan Sosialisme (PNDS-Tarayya), Mohamed Bazoum menang pada Pilihan Raya Presiden pada 27 Disember depan.

"Keputusan pemilihan itu akan menjadi perkara sangat penting untuk menentukan langkah normalisasi antara Niger dan Israel," lapornya lagi.

Pada 23 Oktober lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Sudan bersetuju untuk memeterai perjanjian damai dengan Israel walaupun Khartoum pada mulanya menafikan akan mengambil langkah itu atas alasan kerajaan peralihan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, langkah menormalkan hubungan dengan Israel dikecam Palestin kerana dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada mereka.

Palestin juga mendakwa perjanjian damai itu menafikan hak mereka dan tidak menghiraukan kepentingan mereka. - Agensi

Artikel Berkaitan: