Agong zahir takziah kepada keluarga Khairi Mohamad

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu. -Foto IG Istana Negara
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu. -Foto IG Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan seluruh keluarga perintis penerbangan awam negara, Allahyarham Kapten Datuk Khairi Mohamad yang meninggal dunia Khamis lepas.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

"Seri Paduka Baginda juga amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan dunia penerbangan tempatan.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Khairi merupakan juruterbang Melayu kedua, selepas Allahyarham Kapten Hassan Ahmad yang telah berkhidmat bersama syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Allahyarham juga merupakan salah seorang kapten yang terus berkhidmat bersama Malaysia Airlines selepas syarikat penerbangan itu berpisah dengan Malaysia - Singapore Airline (MSA) pada 1972.

Khairi dinaikkan pangkat sebagai Kapten setelah memperoleh Airline Transport Pilot’s Licence (ATPL) pada 1968 dan jawatan akhir Allahyarham bersama syarikat penerbangan berkenaan ialah Pengarah Operasi Penerbangan.

“Allahyarham merupakan juruterbang yang sangat berdedikasi dan berpengalaman serta jurulatih penerbangan yang telah melahirkan ramai juruterbang muda,” menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Khairi, 80, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis akibat kanser hati dan komplikasi buah pinggang. - Bernama

A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara)